BERIKUTAN sambutan hangat dan maklum balas positif diterima daripada penonton, drama bersiri Angkara Cinta kini disambung lagi sebanyak 45 episod baharu bermula Isnin lalu.

Mengikut perancangan awal, naskhah arahan Hadith Omar itu sepatutnya berakhir menerusi episod ke-70, pada 5 Februari, namun menerusi pertambahan itu, Angkara Cinta kini tampil dengan 115 episod secara keseluruhannya.

Drama bersiri terbitan syarikat produksi Juita Viden itu diadaptasi ke format kisah Melayu daripada drama asal The Two of Us atau lebih dikenali dengan judul Tayong Dalawa iaitu sebuah telenovela popular yang mendapat sambutan hangat di Filipina sekitar tahun 2009.

Antara pelakon yang membintangi drama itu ialah Hun Haqeem, Meerqeen, Wanna Ali, Yuna Rahim, Syazwan Zulkifly, Datin Nina Juren, Sharifah Shahora, Normah Damanhuri, Roy Azman dan ramai lagi.

Angkara Cinta disiarkan menerusi slot Tiara secara eksklusif di saluran Astro Prima HD (105) dan Astro Prima (125), setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh, berkata, Angkara Cinta meraih jumlah tontonan tertinggi di Astro Prima sepanjang tahun 2020.

Iklan

“Drama ini juga turut mencuri perhatian ramai di laman media sosial menerusi pelbagai perkongsian positif menggunakan #AngkaraCinta dengan lebih lapan juta jumlah tontonan digital ke atas rangkaian video promosi yang dikeluarkan.

Iklan

“Sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kami hadiahkan 45 episod tambahan kepada para peminat yang pastinya tertanya-tanya apakah pengakhiran konflik kisah ini,” katanya.

(FOTO: Astro)