SETELAH lebih dua dekad berkecimpung dalam dunia seni, pelakon dan pengarah, Farid Kamil Zahari sudah bersedia untuk mengucapkan selamat tinggal kepada industri hiburan pada bila-bila masa.

Bagaimanapun ujar Farid, 40, dia sendiri tidak pasti bila detik itu akan tiba dan masih bercita-cita melengkapkan 100 filemografi sebelum berundur daripada industri.

“Buat masa ini, saya dah berlakon lebih 60 buah filem dan hanya tinggal enam lagi untuk menyamai rekod filemografi Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

“Sejujurnya saya tak sangka dan ia adalah perjalanan panjang buat saya, daripada tak tahu apa-apa ketika datang dari Kedah dan kemudian menuntut ilmu di UiTM (Universiti Teknologi Mara), sedar-sedar dah berlakon 60 buah filem.

“Kalau boleh saya mahu lengkapkan 100 buah filem, tetapi sebagai hero filem di Malaysia, sejauh mana dia mampu bertahan berbalik pada rezeki,” katanya ketika ditemui pada sesi sidang media Masih Ada Cinta secara maya baru-baru ini.

Ditanya adakah dia membuat keputusan itu kerana kontroversi yang melandanya sebelum ini, Farid menafikan perkara itu.

“Apa terjadi dalam hidup saya sebelum ini, sudah tertulis. Sebagai manusia biasa, saya berserah diri kepada yang Maha Esa.

“Saya bersedia bersara pada bila-bila masa jika sudah tidak diperlukan lagi.

“Sebagai pelakon, modal kita adalah instrument tubuh badan kita. Kalau tubuh badan tak mampu beri alunan atau getaran yang sama lagi, ia akan jadi titik pemisah saya bersara atau pun tidak,” jelasnya.

Antara filem pernah dibintangi suami kepada Diana Danielle itu termasuklah Remp-It, Anak Halal, Apokalip X, Lagenda Budak Setan,  J Revolusi, Tombiruo dan akan datang Remp-It 2.

Iklan

Utama karya daripada Osman Ali

Dalam pada itu, berkongsi pembabitannya dalam Masih Ada Rindu yang bersiaran di slot Akasia TV3, Farid berkata, dia kembali membintangi drama selepas empat tahun.

Farid dan Mimi Lana digandingkan dalam drama terbaharu arahan Osman Ali, Masih Ada Cinta.

Katanya, dia tidak berfikir panjang membintangi drama terbitan Nuansa Sdn Bhd yang juga milik pengarah dan penerbit Osman Ali kerana mempercayai kredibiliti dan hasil kerja syarikat produksi tersebut.

Iklan

“Saya memegang dua watak utama sebagai kembar bernama Hadi dan Hakim. Sebagai pelakon dan juga pengarah, memang banyak persoalan bermain di kepala bila saya selesai membaca skrip.

“Bagaimanapun abang Osman sentiasa menjawab soalan-soalan saya dan memberi kebebasan kepada saya untuk mencorak watak,” katanya.

Drama arahan Osman Ali itu turut dibintangi Mimi Lana, Dayang Areeda dan Aishah Ilias.