"Dulu tidak fasih berbahasa melayu, selalu jadi bahan ketawa rakan-rakan."- Dr Soo Wincci kongsi nostalgia sambut merdeka

A
A
A

‘KEGHAIRAHAN‘ terutama anak muda dalam menyalurkan semangat patriotisme menjelang hari merdeka tampak begitu lesu sekali.

Maka, tidak hairanlah kini, tiada lagi kelihatan kibaran Jalur Gemilang baik di bangunan kerajaan, jalan-jalan utama di pusat bandar raya, premis termasuk parkir kenderaan. Kalau adapun, boleh dikira dengan jari.

Sedikit masa dulu, tatkala menjelang Hari Kemerdekaan Negara, pelbagai persiapan dilakukan dan semangat orang ramai begitu berkobar-kobar. Pun demikian, sejak kebelakangan ini, kita menyaksikan suasananya semakin hambar.

Aura kemerdekaan dalam kalangan anak-anak kecil di sekolah juga nampak pasif. Persoalannya, benarkah rakyat di negara ini sudah melupakan tarikh keramat penting yang menyaksikan negara bebas daripada cengkaman penjajah?

Secara peribadi, bagi saya, merdeka merupakan hari bersejarah yang kita perlu ingati seumur hidup. Hal itu teramatlah penting kerana ia mengingatkan kita tentang betapa susahnya tokoh dan generasi sebelum ini berjuang demi mencapai keharmonian yang diraih kini.

Sesungguhnya, mereka telah mengharungi banyak pahit-maung demi sebuah negara yang merdeka.

MEDIA SOSIAL

Seperti yang saya katakan tadi, sambutan kemerdekaan kini tidak sama seperti zaman dulu. Apa yang saya lihat, perkataan ‘merdeka‘ hanya sekadar laungan selepas detik 12 malam, selain seronok sekejap ketika menonton upacara perbarisan pada sebelah siangnya.

Selepas itu, semua akan kembali menjalani rutin harian. Saat yang signifikan itu hanya berlalu begitu sahaja.

Tidak keterlaluan untuk saya katakan, generasi pada hari ini semakin jauh dengan semangat nasionalisme, tidak seperti era nenek moyang kita dahulu.Pun demikian, untuk menyalahkan generasi muda 100 peratus adalah tidak adil. Setiap masalah pasti ada puncanya.

Jika dilihat kembali senario sekarang, segalanya agak menggentarkan hati. Dengan ketidakstabilan politik dan ekonomi, membuatkan segala-galanya nampak seperti terumbang-ambing.

Ditambah dengan anak muda yang lahir dalam suasana negara yang sudah aman dan makmur. Hal itu secara tidak langsung menyebabkan semangat cinta kepada negara begitu rapuh.

Sumber foto: 123rf

Tidak kurang juga, terdapat segelintir daripada mereka yang masih terpinga-pinga untuk mentafsirkan pengertian merdeka dari sudut pandangan sendiri.

Tidak pastilah mengapa permasalahan tersebut boleh berlaku. Namun, pada perspektif saya, ia barangkali disebabkan generasi milenial kurang diberikan pendedahan dan gambaran jelas tentang kisah di sebalik kemerdekaan.

Sehubungan itu, sebagai pihak yang bertanggungjawab, kita harus peka dengan elemen berkenaan dan mencari jalan untuk mengatasinya, bukan menuding jari pada mana-mana pihak.

Saya juga berpandangan, tidak timbul isu media sosial dalam mempengaruhi seseorang untuk tidak mencintai tanah air sendiri, apalagi menghargai akan nikmat kemerdekaan.

Sebenarnya, ia merupakan satu platform yang menjadi pengaruh utama buat generasi muda.

Justeru, perbanyak dan lambakkanlah informasi berunsur patriotik menerusi media sosial dengan pendekatan baharu dan inovatif.

Satu lagi, jangan sekadar menekankan konsep patriotisme ketika menjelang hari kemerdekaan semata-mata. Sebaliknya, nilai itu haruslah diterapkan kepada anak muda kita sejak pada awal pembelajaran lagi.

Ia juga diharapkan bukan dijadikan sebagai simbolik semata-mata, sebaliknya harus dijiwai, barulah tumbuh mekar di dalam sanubari.

Mudah kata, saya berpendapat, semangat cintakan negara haruslah dimulakan pada zaman sekolah lagi dan diteruskan di tempat kerja.

Di luar negara misalnya, setiap program yang dijalankan di institusi pendidikan digalakkan untuk menerapkan unsur diversiti.

Di Malaysia sebenarnya sama sahaja. Sejujurnya, saya sendiri suka jika diadakan projek atau program dengan bangsa yang lain.

Kaedah sebegitu haruslah diteruskan agar kita dapat melunaskan prinsip we walk the talk dan bukan sekadar hanya di atas permukaan kertas sahaja.

Dalam bab patriotisme, saya menjadikan P Ramlee dan Sudirman sebagai idola. Walaupun kedua-dua tokoh itu lahir dalam bidang seni, namun mereka membuktikan anak seni boleh pergi jauh, selain berupaya menyatukan bangsa dan negara.

NOSTALGIA SAMBUT MERDEKA

Sejak kecil, saya tidak pernah ketinggalan menyambut hari kemerdekaan negara. Saya masih ingat lagi, ketika zaman sekolah menengah, ada pelbagai pertandingan dianjurkan dan saya pasti menjadi salah seorang peserta.

Disebabkan saya tidak fasih berbahasa Melayu, saya menjadi bahan ketawa rakan-rakan. Namun demikian, saya tidak pernah berputus asa atau malu dengan situasi tersebut.

Apabila memasuki tingkatan 5, bahasa Melayu saya semakin baik dan setiap kali pertandingan yang saya sertai, pasti tidak akan pulang dengan tangan kosong.

Kalau ditanya tentang pengalaman menyambut kemerdekaan di bumi asing, banyak perkara yang bermain dalam minda. Sebenarnya saya melalui banyak keperitan.

Namun, magiknya rasa itu hilang apabila terpandang bendera Malaysia. Secara automatik, saya mengalirkan air mata. Di dalam bilik, saya akan kibarkan Jalur Gemilang demi menguatkan kembali semangat patriotisme.

Selain itu, saya suka mendengar lagu-lagu patriotik setiap kali saya hilang semangat atau terasa mahu berputus asa.

Mungkin generasi sekarang boleh mencuba cara yang saya lakukan itu untuk memupuk semangat cintakan negara. Bak kata pepatah Melayu, kalau hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya.

Oleh itu, dalam usaha menyemai semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat terutama anak-anak muda, kita perlu lebih kreatif sesuai dengan situasi semasa.

Gunakan platform media sosial sebaik-baiknya agar anak-anak muda kita dapat menjiwai dengan lebih mendalam, sekali gus memupuk semangat patriotik dan cintakan negara.

Demikian juga dalam soal perpaduan di negara. Usah biarkan anasir luar mencemari keharmonian yang kita kecapi selama ini.

Meskipun, ada beberapa minggu lagi untuk menyambut merdeka, saya mengucapkan Selamat Menyambut Kemerdekaan yang ke-65 kepada semua pembaca Sinar Harian.

Oleh: Dr. Soo Wincci

Pensyarah bidang muzik dan perniagaanUniversiti Teknologi MARA (UiTM)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca