SEIRING kematangan mengisi usia dan kerjaya, penyanyi bersuara lantang, Datin Alyah mengakui mahu menjadi edisi terbaik buat dirinya.

Sentiasa beradaptasi dengan perubahan di sekeliling, Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan ini sebolehnya mahu memberikan pengaruh positif dalam apa sahaja yang dilakukan.

Misi yang tersemat itu diterjemahkan dalam penghasilan single lagu-lagu berkonsepkan ketuhanan yang diharapkan dapat memberi sesuatu kepada pendengar muzik tanah air.

Isteri kepada maestro muzik terkenal, Datuk Ramli MS itu tidak mahu menyanyi hanya sekadar untuk menyanyi, tetapi dalam masa sama menyalurkan energi positif untuk dimanfaatkan bersama.

Alyah berkata, selepas kejayaan lagu berkonsepkan ketuhanan Thank You Allah, dia sekali lagi bakal tampil dengan genre serupa menerusi single Eilayka yang menyaksikan kolaboratif pertamanya bersama Ustazah Asni Mansor.

“Eilayka merupakan lagu ciptaan bersama dengan Firdaus (Big Stage) dan ia sangat istimewa apabila turut menampilkan Ustazah Asni.

“Kalau ikutkan perancangan lagu ini akan dilancarkan selepas raya, tetapi apabila Ustazah Asni berkongsi berita gembira menerima panggilan mengerjakan haji, pelancaran itu ditangguhkan dahulu,” katanya yang menjalani penggambaran muzik video lagu tersebut di Dubai pada Ramadan lalu.

Eilayka menyaksikan kolaboratif pertama Alyah bersama Ustazah Asni Mansor.

Ditanya adakah kecenderungannya kini lebih terarah kepada lagu-lagu berkonsep sedemikian, penyanyi yang mula meledak popularitinya dengan lagu Tak Mungkin Kerana Sayang itu ada jawapannya sendiri.

“Saya terbuka dengan genre apa-apa pun, cuma buat masa ini ilham yang datang lebih kepada genre sebegitu termasuk lagu Thank You Allah. Idea menghasilkan lagu itu datang begitu sahaja dan saya cuba ketengahkan dengan sebaiknya.

“Saya bukanlah komposer atau seorang yang aktif mencipta lagu, tetapi bila dapat ilham barulah saya lakukan sesuatu dan ajak komposer lain untuk berkolaborasi. Semuanya kebetulan, tetapi kebetulan yang indah dan menyenangkan,” katanya yang mahu sentiasa menyebarkan mesej positif kepada semua.

Konsert Keroncong

Pun begitu, anak kelahiran Gelang Patah, Johor Bahru ini mengakui rindu untuk turut kembali merakamkan lagu-lagu pop balada yang cukup sinonim dengan dirinya sebelum ini.

Akui Alyah, sehingga kini beliau masih menanti jika ada lagu-lagu yang menarik perhatiannya daripada genre tersebut.

Bagaimanapun, katanya lagi karya yang dinantikan itu bukanlah lagu-lagu yang mempunyai elemen sama dengan yang pernah dipopularkan dahulu seperti Kisah Hati, Jutaan Purnama dan seumpamanya.

“Bila tengok balik video-video lama, memang saya rasa sangat rindu nak tampil dengan lagu-lagu pop balada macam dulu. Namun sehingga kini saya belum bertemu lagu sesuai biarpun sudah banyak menerima karya daripada pelbagai komposer.

“Kebanyakan mereka memberikan lagu yang lebih kurang sama dengan lagu-lagu saya terdahulu. Saya tidak mahu tampil dengan lagu yang lebih kurang sama. Takkan nak tampil dengan Kisah Hati 2 atau Jutaan Purnama 2 pula,” ujarnya.

Iklan

Dalam perkembangan lain, Alyah turut berkongsi berita gembira bakal tampil dalam Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia di Istana Budaya pada 5 dan 6 Ogos depan.

Tidak muncul berseorangan, tetapi beliau akan berkongsi pentas dengan bintang-bintang legenda tanah air seperti Datuk Yusni Hamid, Datuk Khatijah Ibrahim dan Datuk Awie.

Menurut penyanyi yang bakatnya dicungkil daripada program Bintang HMI terbitan RTM lebih dua dekad lalu ini, peluang tersebut mahu digunakan sebaik mungkin, apatah lagi sudah lama tidak berpeluang mendendangkan irama keroncong di pentas persembahan.

“Terkejut bila dapat tawaran menjayakan konsert irama keroncong, apatah lagi saya bukanlah penyanyi yang dekat dengan irama ini. Namun saya mengambilnya sebagai satu cabaran dan dalam masa sama sebagai apresiasi kepada irama tradisional ini.

Iklan

“Sejujurnya lagu keroncong sangat susah untuk dibawakan berbanding lagu-lagu biasa kerana ia dinyanyikan dengan nafas yang panjang dan penuh sabar, sesuai dengan muziknya. Saya pula baru menjalani pembedahan bariatrik, jadi pasti akan berdepan sedikit kesukaran.

“Pada usia muda dulu, kita susah nak menikmati muzik sebegini kerana tak sabar, tetapi sekarang saya cukup menyukainya. Betullah orang kata, irama keroncong sangat menenangkan,” katanya mengakhiri perbualan.

(FOTO: INSTAGRAM DATIN ALYAH)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi!