SELEPAS mendirikan rumah tangga, populariti penyanyi dan komposer muda, Yonnyboii dikatakan sedikit menurun dan kurang menyerlah berbanding sebelum ini.

Malah karya baharu yang ditampilkan juga kurang mendapat sambutan sebagaimana lagu-lagu yang pernah menaikkan namanya sebelum ini.

Menolak andaian berkenaan, Yonnyboii atau nama sebenarnya Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, berkata, kerjaya muziknya masih berlangsung seperti biasa, cuma mungkin perubahan yang dilakukan dalam karya menyebabkan peminat mengambil sedikit masa untuk menerima.

“Mungkin peminat masih belum dapat menerima perubahan yang dilakukan dalam karya saya seperti lagu Sengkek, kolaborasi bersama Alyph yang dilancarkan pada Februari lalu.

“Saya tidak mahu hanya buat benda yang sama sahaja dan kalau boleh mahu sentiasa tampilkan sesuatu yang berbeza. Jika diterima alhamdulillah, kalau sebaliknya saya akan usaha lagi.

“Saya faham jika sambutan peminat agak perlahan terhadap karya baharu saya kerana mereka mungkin mengambil sedikit masa untuk terima pembaharuan,” ujarnya.

Tidak terganggu dengan situasi tersebut, bintang berusia 25 tahun itu baru sahaja tampil dengan single keduanya untuk tahun ini berjudul Flash & Dash yang menyaksikan kolaborasinya dengan dengan rapper kelahiran Sarawak, Guccimith.

Yonny tampil bersama Guccimith dalam single baharu, Flash & Dash.

Karya ciptaan Yonnyboii sendiri bersama SonaOne, Wolfy dan Guccimith itu kini boleh didengari di semua platform muzik digital bermula 26 Mei lalu,

“Saya rasa lagu ini lebih segar dan menyeronokkan. Belum ada lagu dengan gaya seperti ini. Malah secara peribadi ia sesuatu yang saya sendiri tidak pernah buat dan boleh dianggap eksperimental,” akuinya.

Inpsirasi

Tambah Yonnyboii lagi, judul Flash & Dash itu terinspirasi daripada siri animasi Anime Jepun yang pernah popular pada tahun 1990-an.

“Pesan yang kerap dipaparkan dalam siri kartun tersebut adalah bagaimana watak-watak utamanya sentiasa ingin berusaha menjadi juara dan pemenang. Jadi itulah yang ingin saya kongsikan.

“Kita tidak mungkin dapat mengejar waktu, jadi berusahalah secepatnya jika mahu berjaya,” katanya penuh makna.

Iklan

Berkongsi tentang proses penghasilan lagu tersebut, selain rakaman video muziknya yang cukup menarik, Yonnyboii mengakui Guccimith adalah pilihan yang tepat.

“Proses rakaman sangat mudah dan lancar, malah tidak sampai tiga jam lagu ini siap dirakam. Video muzik untuk lagu ini juga dihasilkan dengan cara yang sedikit berbeza,” katanya yang berhasrat untuk tampil dengan showcase sendiri tidak lama lagi.

Yonny dan isteri tidak bakal menimang cahaya mata sulung tidak lama lagi.

Dalam masa sama, Yonnyboii mengakui perlu mengatur jadual kerjanya dengan sebaik mungkin kerana mahu meluangkan lebih masa bersama isterinya, Nik Nazira Narriman yang kini sedang sarat hamil.

“Sekarang saya agak kurang tampil menjayakan persembahan pentas kerana sibuk di studio dengan kerja belakang tabir, termasuk buat lagu untuk penyanyi lain.

Iklan

“Dalam masa sama, saya juga boleh luangkan lebih masa dengan isteri yang kini sedang sarat hamil dan dijangka melahirkan cahaya mata sulung kami pada Julai depan,” katanya yang teruja bakal bergelar bapa.

(FOTO: UNIVERSAL MUSIC MALAYSIA)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi