MENGANGKAT sebuah kisah percintaan yang mengetengahkan elemen romantik sains fiksyen, Imaginur tampil sebagai sebuah naskhah yang cukup unik.

Filem arahan Nik Amir Mustapha yang bertemakan cinta itu turut disulam dengan elemen hypnosis, sekali gus menjadikan jalan ceritanya lebih menarik.

“Imaginur sebuah kisah cinta, mengisahkan tentang seorang lelaki yang mimpikan seorang gadis, kemudian setelah melalui proses hipnosis, tiba-tiba dapat berjumpa di alam realiti.

“Bolehkah kita dipukau untuk bercinta? Saya terinspirasi dengan soalan itu dan berhasrat membuat satu ‘snapshot’ kehidupan orang Malaysia yang bertemakan cinta dan keluarga yang dipakej bersama elemen hipnosis,” ujarnya.

Menurut Nik Amir yang sebelum ini pernah tampil dengan filem KIL dan Terbaik Dari Langit, idea untuk menghasilkan itu timbul berikutan dia begitu minat dengan minda manusia yang kompleks.

“Sebenarnya, idea untuk menghasilkan filem ini sudah ada sejak sebelum saya mengarahkan filem pertama iaitu KIL.

“Akhirnya, saya berganding dengan Redza Minhat untuk menulis sebuah filem bertema cinta, hipnosis dan kehidupan.

“Setelah lama tak buat filem, saya rasa nak buat comeback dengan idea original saya dulu, maka terhasillah Imaginur,” jelasnya.

Pemilihan pelakon

Naskhah terbitan terbitan Lumatic Films itu mengandingkan dua pelakon hebat iaitu Beto Kusyairy dan Diana Danielle selaku teraju utama.

Mengulas tentang pemilihan dua bintang tersebut, Nik Amir berkata, keyakinannya terhadap Beto dan Diana untuk menjayakan watak masing-masing dengan baik adalah sangat tinggi.

“Umum mengetahui Beto merupakan seorang pelakon yang mampu menjiwai apa sahaja watak. Malah, dia berhasil memberikan komitmen lebih daripada 100 peratus untuk watak Zuhal.

“Mengenai Diana pula, saya tertarik dengan kebijaksanaannya apabila pertama kali berbincang mengenai filem ini. Saya rasa dia memang cukup sesuai untuk membawakan watak Nur, seorang gadis yang penuh misteri,” jelasnya.

Dalam pada itu, bercerita tentang cabaran menghasilkan karya tersebut, Nik Amir mengakui ia tidak mudah memandangkan dia bertindak selaku pengarah dan penerbit.

Tambahnya, selain pandemik yang menyebabkan penggambaran tergendala, faktor kewangan juga cukup memberi cabaran.

“Sebagai syarikat kerdil, cabaran terbesar memang dari segi kewangan dan Lumatic Films mengambil masa yang lama untuk mengumpul dana yang cukup dan akhirnya dengan bantuan pihak FINAS juga, maka kami berjaya menyiapkan Imaginur.

“Pembikinan juga tergendala sangat lama kerana terjejas pandemik, tetapi kami gunakan masa itu untuk memperhalusi filem ini sebaiknya. Alhamdulillah, setelah bertungkus lumus, filem ini berjaya disiapkan,” ujarnya.

Iklan

Misteri

Nik Amir ketika memberikan arahan kepada Beto dan Diana di set penggambaran Imaginur.

Bagaimanapun, pengarah muda ini yakin Imaginur mempunyai tarikan tersendiri untuk membawa penonton ke pawagam.

Tidak hanya menampilkan barisan pelakon hebat, plot filem tersebut juga penuh misteri dan mencetuskan tanda tanya.

Penonton bakal menyaksikan sebuah cerita dengan unsur misteri yang tidak terlalu straight forward.

“Walaupun Imaginur bukanlah sebuah filem blokbuster, saya harap cerita seperti ini mendapat sambutan masyarakat dan dapat bermain dengan perasaan penonton.

“Kami cuba menghidangkan sesuatu yang alternatif dari segi plot dan penyampaian dengan harapan lebih cerita seperti ini dapat dibikin dan menjadi kebanggaan rakyat Malaysia,” ujarnya.

Iklan
Lakonan mantap Beto, bakal meruntun hati penonton.

Imaginur yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 23 Februari depan mengisahkan tentang kehidupan seorang lelaki muda bernama Zuhal, berputar di luar kawalan, di mana dia cuba untuk mendapatkan semula fokus dengan mencari rawatan hipnosis.

Keadaan mula berubah apabila gadis dari mimpinya, Nur, muncul dalam kehidupan sebenar. Ketika cuba untuk mengenalpasti siapa wanita misteri itu, dia mula jatuh cinta dan belajar mengenali dirinya sendiri.

Selain Beto dan Diana, filem ini turut dibintangi Nadiya Nisaa, Datuk Afdlin Shauki, Rahim Razali, Fatimah Abu Bakar, Ruana Ibrahim, Meor Hashim Manaf, Pekin Ibrahim dan Anas Ridzuan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.