PELAKON Elisya Sandha kini bergelar isteri apabila selamat disatukan dengan tunangannya, Uzair Haqimy, 25, yang juga merupakan anak sulung, pelakon dan penerbit Sheila Rusly pada petang Sabtu.

Elisya atau nama sebenarnya Nur Elisya Hassan, 22, sah menjadi milik Uzair menerusi majlis ijabkabul yang berlangsung sekitar jam 3.11 petang di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak, dengan berwalikan bapa pengantin perempuan, Mohd Faisal Abdullah.

Menerusi majlis akad nikah yang berlangsung penuh harmoni itu, Elisya menerima mas kahwin berupa seutas gelang emas putih daripada pengantin lelaki, beserta lima dulang barang hantaran, berbalas tujuh. Manakala wang hantaran pula berjumlah RM22,222.22.

Elisya kelihatan anggun dalam persalinan rekaan Teh Firdaus dan ditatarias Datuk Alha Alfa.

Menurut Elisya dia terpikat dengan Uzair yang dikenalinya sejak lima tahun lalu ketika masih dibangku sekolah itu kerana sikap bertanggungjawab yang dimiliki suaminya yang bekerja sebagai pengurus produksi.

“Paling utama yang membuatkan saya tertarik kepada Uzair adalah sikapnya menjaga dan menyayangi keluarganya.

“Itu antara ciri yang saya lihat menjadi jaminan dia boleh menjaga saya dengan baik. Insya-Allah. Dia juga rajin bekerja dan menghormati orang tua. Kami juga mengharungi pelbagai ujian hidup bersama sejak dulu,” katanya.

Sementara itu, Uzair pula menyifatkan peribadi yang dimiliki isterinya itu cukup menyenangkannya.

“Elisya cukup menenangkan saya. Kami cuba melengkapi diri masing masing. Ini fasa baharu untuk kami lebih serius memikirkan soal tanggungjawab. Semoga ia dipermudahkan,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Elisya yang juga adik kepada pelakon Fasha Sandha itu juga menjelaskan perancangan majlis pernikahannya dan suami yang berlangsung hari ini dilakukan pada saat-saat akhirnya.

Malah katanya, mengikut perancangan asal, majlis tersebut bakal diadakan pada 22 Februari 2022.

Iklan

 

(KREDIT FOTO: Amir Naufal Photography)