TERUJA menantikan reaksi penonton terhadap filem terbaharu lakonannya, Abang Long Fadil 3 yang kini sedang hangat ditayangkan di pawagam, penyanyi dan pelakon, Elizabeth Tan mengakui sudah memberikan yang terbaik.

Menyifatkan tawaran menjayakan watak aksi sebagai ejen perisikan bernama Alice itu sebagai mimpi yang menjadi kenyataan, Elizabeth atau lebih mesra disapa sebagai Lizzy berharap agar penampilan tersebut diterima ramai.

“Sejak kecil lagi saya memang minat dengan aksi lasak dan membesar dengan menonton filem-filem seperti Charlie’s Angles dan Spy Kids.

“Jadi bila dapat tawaran buat watak aksi dalam filem Abang Long Fadil 3 ini, saya rasa sangat seronok dan berusaha memberikan yang terbaik agar penampilan tersebut berjaya memberikan impak.

“Saya tidak kisah mengalami lebam atau sakit seluruh badan sepanjang penggambaran kerana memang begitulah lumrahnya filem aksi. Biarpun terpaksa menanggung kesakitan, saya rasa berbaloi apabila melihat hasilnya,” ujarnya.

Lizzy mahu lebih banyak tampil dengan watak aksi pada masa akan datang.

Membuktikan kesungguhannya, Lizzy juga mengambil inisiatif untuk belajar seni bela diri campuran (Mixed Martial Arts) atau MMA dengan menggunakan wang daripada poket sendiri berjumlah RM4,000.

“Pihak produksi ada menyediakan latihan selama empat hari kepada pelakon sebagai persediaan untuk menjayakan babak aksi, tetapi saya fikir ia tidak mencukupi.

“Ini adalah filem aksi pertama saya dan tentunya saya tidak mahu memalukan diri sendiri jika apa yang ditampilkan tidak menjadi.

“Jadi tak rugi pun saya keluarkan duit sendiri dan usaha lebih sedikit untuk berikan yang terbaik,” kata Lizzy yang melakukan sebahagian besar daripada babak aksi untuk wataknya dalam filem tersebut.

Aksi meyakinkan

Tampil dengan persembahan lakonan terutamanya untuk babak aksi yang begitu meyakinkan, penampilan Lizzy ternyata mendapat pujian ramai.

Biarpun begitu pelakon siri Gerak Khas: Undercover mengakui masih banyak kelemahan ada pada dirinya dan berusaha untuk menjadi pelakon yang lebih baik pada masa akan datang.

“Saya sudah buat yang terbaik, tetapi jika diberikan peluang sekali lagi saya percaya dapat melakukan yang lebih bagus.

Iklan

“Cabaran utama saya mungkin dalam aspek penyampaian dialog yang masih banyak kelemahan dan tidak nampak natural. Namun untuk lakonan aksi, saya lebih beryakinan.

“Jadi selepas Abang Long Fadil 3, saya berharap dapat tampil dengan lebih banyak filem aksi sekiranya diberikan peluang. Saya nak orang tahu, saya sangat sukakan lakonan aksi dan memang boleh buat babak lasak,” ujarnya.

Berkongi pengalamannya bekerja dengan dua pelakon dan pelawak popular tanah air iaiatu Zizan Razak serta Johan, Lizzy berkata, banyak perkara baharu yang dipelajari.

Iklan

“Biarpun mereka berdua adalah pelawak, namun masing-masing serius apabila melibatkan kerja.

“Saya seronok sepanjang berada di set penggambaran filem ini dan bekerjasama dengan team yang semuanya profesional,” kata yang berharap agar filem tersebut mempunyai sambungan untuk sekuel keempat kelak.

(FOTO: AZRUL RAFIE – ASTRO SHAW)