HAMPIR empat dekad bergelar anak seni, cinta dan dedikasi ratu rock negara, Ella, pada muzik tidak pernah berkurang. Malah apa sahaja cabaran dilalui dalam tempoh itu dijadikan pengalaman yang mendewasakan diri dan kerjaya.

Memiliki personaliti yang manja dan ceria, pemilik nama sebenar, Nor Zila Aminuddin, mudah mencuri tumpuan ramai, malah disayangi para peminat yang setia memberikan sokongan tidak berbelah bahagi buat bintang rock legenda itu.

Biarpun aktiviti seninya terhenti seketika disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak dua tahun lalu, Ella mengakui cukup terharu apabila peminat masih teruja menantikan perkembangan terbaharu dirinya.

“Sebenarnya saya memang ada perancangan mengadakan konsert untuk peminat, namun buat masa ini ia belum boleh didedahkan lagi kerana masih banyak perkara belum diselesaikan, selain pandemik belum benar-benar reda.

“Jadi sementara menantikan itu, saya kini kembali aktif menjayakan pelbagai persembahan setelah hampir dua tahun berada di rumah dan hanya membuat persembahan secara virtual sahaja.

“Dapatkan mengubati rindu untuk beraksi di pentas dan bertemu peminat,” katanya yang berhasrat tampil dengan single baharu pada masa akan datang.

Dalam pada itu, selebriti yang kini menginjak usia 55 tahun itu tidak menyangka peminat masih teruja dan bersemangat setiap kali menonton persembahannya, meski barisan artis baharu kini mendominasi industri seni tanah air.

“Sewaktu mengadakan persembahan sempena showcase Kenangan Lalu Kuala Lumpur anjuran radio KLFM baru-baru ini, saya sangat terkejut dengan sambutan peminat yang luar biasa.

“Ternyata mereka begitu teruja menonton persembahan saya biarpun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan.

“Alhamdulillah respon yang diberikan itu membuatkan saya tambah bersemangat untuk terus menghiburkan mereka,” katanya.

Ella yang ditemui ketika majlis majlis menandatangani memorundum persefahaman (MoU) antara Saudagar Santai Group (SSG) dan Ricabot sebagai pengguna dan peserta affiliate Ricabot itu juga bakal menjayakan siri persembahan jelajah Rock The Crypto pada tahun depan.

Turut menggalas tanggungjawab sebagai duta SSG, penyanyi yang cukup dikenali dengan lagu Layar Impian itu berkata, beliau tidak sabar untuk memulakan siri jelajah itu, sekali gus bertemu peminat setianya di seluruh negara.

Ella ketika majlis menandatangani MoU antara Saudagar Santai Group (SSG) dan Ricabot di Cyberjaya.

Gangguan Anxiety

Bagaimanapun di sebalik kegemilangan dan segala keindahan yang sering dilihat menghiasi kerjaya seninya, anak kelahiran Klang, Selangor itu tampil mendedahkan dirinya menghidap masalah keresahan (anxiety) sejak beberapa tahun lalu.

Iklan

Menurut Ella, emosi beliau kembali terganggu sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, berikutan pandemik Covid-19 yang semakin meningkat dalam negara.

“Sebenarnya saya dah lama dikesan menghidap anxiety iaitu ketika mula melibatkan diri dalam industri seni. Waktu itu saya tidak mempunyai keyakinan diri untuk bergaul dengan orang ramai dan membuat persembahan kerana karakter saya yang pemalu.

“Akibatnya saya sentiasa rasa gementar dan fikiran selalu kosong sehingga tidak dapat berbuat apa-apa. Akhirnya keluarga menasihati saya berjumpa doktor dan disahkan mempunyai masalah tersebut.

“Bila saya dah tahu punca, barulah saya dapat mencari jalan penyelesaian dan mengatasi masalah yang dihadapi itu. Alhamdulillah ia berjaya diatasi biarpun tidak sepenuhnya,” jelasnya.

Iklan

Tambah Ella lagi, dia tidak menyangka anxiety yang dihidapi sejak sekian lama itu kembali menyerangnya apabila kerap mendengar cerita-cerita negatif yang berlaku dalam masyarakat disebabkan masalah kesihatan mental.

“Bila anxiety saya kembali menyerang baru-baru ini, saya terdetik untuk membuat pendedahan dan berkongsi tentang masalah tersebut kepada umum.

“Saya mahu memberi kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya kita menjaga kesihatan mental, selain mengajak mereka yang mengalami masalah sama untuk berani tampil dan berjumpa doktor bagi mengatasinya.

“Tidak perlu takut kerana ia bukanlah perkara salah atau memalukan, sebaliknya tindakan itu akan menyelamatkan mereka menjadi lebih teruk sehingga memudaratkan kehidupan sendiri,” katanya.