Elly Arifin mencatur masa depan
NAMA Elly Arifin mungkin agak asing buat segelintir peminat seni tanah air. Barangkali ada yang mengenalinya sebagai pengacara program hiburan. Mungkin juga ada yang mengetahui beliau ialah bekas isteri seorang pelawak tanah air.
Menyingkap kembali salasilah diri, Elly atau nama sebenarnya Nurul Elyana Arifin memulakan kerjaya sebagai wartawan penyiaran.
Kemudian, tuan punya diri meluaskan skop profesion dengan bergiat aktif dalam dunia seni sebagai pelakon.
Menyifatkan setiap peluang yang datang perlu dicapai atas kapasiti pengalaman, wanita berusia 34 tahun itu juga gemarkan cabaran dan suka mencuba sesuatu yang baharu.
“Kalau ditanya apa minat sebenar saya, tentu sekali bidang kewartawanan dan pengacaraan. Bagaimanapun, saya tidak suka sentiasa berada di zon selesa sebab kalau kita tidak mencuba, kita tidak tahu sejauh mana kita boleh pergi.
“Jika ada yang fikirkan saya sesuai menceburi bidang perniagaan dan yakin dengan kemampuan saya, saya akan tetap lakukan,“ ujarnya kepada SinarPlus.
Elly berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program Terbaharu terbitan Awesome TV, Mic On Selebriti yang sudah mula bersiaran sejak 20 Mei lalu.
Ditebak adakah penglibatannya dalam pentas seni hanya mahu mengejar glamor, bekas pelajar Institut Media Integratif Malaysia (MIIM) itu pantas menafikannya.
Jelas Elly, populariti adalah sesuatu yang subjektif, namun ia sama sekali bukan menjadi keutamaannya.
“Dulu mungkin saya pandang ke arah itu, tetapi kini soal glamor atau populariti sudah jatuh nombor tiga.
“Apa yang saya fokus sekarang adalah kemajuan diri. Saya tidak suka berada di takuk yang sama. Kalau ikutkan dulu saya sudah cukup selesa dengan pendapatan tetap sebagai pengacara, tetapi saya tidak mahu hanya duduk dan tunggu peluang datang," katanya sambil memberitahu, sudah bersiap siaga merempuh segala kontroversi dan gosip liar yang mungkin menerjah.
Cuba nasib
Setelah cabang pengacaraan dan lakonan diterokai, Elly kini mewarna-warnikan lagi langkahnya dengan menyertai program nyanyian, Mic On Selebriti pula.
Selain Elly, program tersebut disertai selebriti lain seperti Zulhuzaimy, Fauzi Nawawi, Anas Riduan, Sherry Ibrahim dan ramai lagi.
Persoalannya, bolehkah empunya diri menyanyi?
Tenang menjawab pertanyaan yang diajukan, Elly dengan ikhlas berkata, beliau sebenarnya sudah lama mengimpikan untuk menyertai dunia nyanyian.
Pun demikian, masih belum ada keyakinan dan meragui kemampuan serta keyakinan sendiri.
“AG Coco pernah tawarkan saya hasilkan lagu, tetapi saya tidak berapa yakin sebab ada yang pernah kata suara saya tidak sedap.
“Apabila Awesome TV tawarkan saya menyertai program ini, saya agak terkejut, tetapi pada masa sama, saya rasa inilah masanya untuk saya mempamerkan kebolehan.
“Mana tahu, lapangan yang tidak terjangka ini menjadi untuk saya. Menang atau kalah tidak penting, apa yang utama saya mahu tambahkan lagi kesungguhan dalam diri,“ tuturnya yang sanggup mengikuti kelas vokal sebagai persediaan awal.
Tak serik
Dalam pada itu, menyentuh mengenai kehidupan peribadinya, Elly memaklumkan masih lagi sendiri selepas bercerai dengan bekas suami, Jiggy Masin atau nama sebenarnya Mohammad Aizat Ahmad Nazri.
Biarpun Jiggy sudah kembali berumah tangga dengan atlet terjun negara, Nur Dhabitah Sabri awal Mei lalu, mantan pengacara HLive itu tidak menjadikan perkembangan berkenaan sebagai satu ‘persaingan‘ dalam hidup.
“Sejujurnya dari tahun lepas, sebelum saya tahu Jiggy akan berkahwin lagi, saya beritahu ibu yang saya mahu berkahwin, tetapi calon belum ada (ketawa).
“Saya juga tidak serik untuk berkahwin, tetapi ada sedikit perasaan trauma. Atas sebab itu, saya berhati-hati memilih pasangan. Bagi saya tua atau muda bukan ukuran, paling penting lelaki yang bakal menjadi pasangan saya matang dan stabil dari segi kewangan,“ ujarnya yang mengakui meminati lelaki yang lebih berusia.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang