MUZIK adalah bahasa universal yang sering menyatukan kebanyakan manusia walau di mana berada dan pertembungan muzik antara dua negara, Malaysia serta Indonesia telah terjalin secara harmonis sekian lamanya.

Terbaharu, penyanyi bersuara emas, Ernie Zakri dan band dari Indonesia, Govinda, dipertemukan dalam sebuah single berjudul Hal Hebat.

Sebagaimana yang diketahui, Hal Hebat adalah single paling hit pernah dinyanyikan oleh Govinda dengan jumlah tontonan menghampiri 20 juta sejak pelancarannya kira-kira dua tahun lalu.

Biarpun sudah mempunyai kelompok peminat tersendiri, ia tidak menghalang Govinda untuk merakamkan semula lagu tersebut dan diperhebatkan lagi dengan kehadiran Ernie.

“Idea di sebalik ‘pertemuan’ ini datangnya daripada pihak Rocketfuel Entertainment dan juga MyMusic Records Indonesia yang mahukan kerjasama muzikal antara dua negara terjalin.

“Saya tidak mengambil masa lama untuk mempertimbangkan tawaran kedua-­dua pihak kerana saya sendiri tahu Hal Hebat menjadi antara lagu popular di TikTok sejak dua tahun lalu.

“Proses rakaman juga tidak mengambil masa lama kerana mengejar jadual kerja yang agak padat.

“Komposisi dan susunan muziknya turut diberi nafas baharu oleh penciptanya sendiri iaitu Ade sesuai dengan konsep duet yang kami tampilkan, namun saya masih mengekalkan feel sama kerana melodi terdahulu sudah cukup sempurna,” ujar Ernie ketika sesi sidang media secara maya yang turut disertai Govinda baru-baru ini.

ERNIE-GOVINDA
Ernie dan Govinda tidak mengambil masa lama untuk menyelesaikan proses rakaman dan penggambaran muzik video.

Tambah vokalis Govinda, Ifan, mereka sememangnya teruja apabila mengetahui cadangan kerjasama ini dan mengagumi bakat nyanyian Ernie yang disifatkan memiliki suara emas.

“Sejujurnya kami amat senang apabila lagu Hal Hebat turut mendapat sambutan luar biasa di Malaysia. Kemudian, kami pula mendapat tawaran yang sangat menarik untuk menerbitkan lagu ini dalam versi duet edisi Malaysia hasil kolaboratif dengan Ernie.

“Rasanya tidak keterlaluan untuk kami menyifatkan Ernie sebagai salah seorang penyanyi wanita terbaik di Malaysia.

Iklan

“Sebelum ini, kami ambil tahu latar belakang Ernie. Dia merupakan salah seorang diva dan penyanyi kesukaan ramai di Malaysia.

“Bila kami mendengar suara Ernie, ternyata nyanyian dan penghayatannya sangat bagus. Ketika sesi rakaman, kami dan syarikat rakaman juga rasa sangat puas,” ujarnya.

Salam perkenalan

Tidak hanya teruja dengan kerjasama itu, ibu kepada Nur Khawla Soleha berusia lima bulan itu turut berharap gandingan bersama Govinda akan membuka jalan buat kerjaya seninya di Indonesia.

ernie
Ernie berharap kerjasama dengan Govinda membuka jendela perkenalannya untuk melebarkan kerjaya ke Indonesia.

“Saya tidak mahu berada pada satu takuk sahaja dan berhasrat melebarkan sayap ke negara luar. Namun semua ini tidak akan menjadi tanpa usaha berterusan serta doa-doa anda semua. Jadi teruskanlah mendoakan perjalanan seni saya agar dapat membina nama yang dapat membanggakan kita semua.

Iklan

“Semoga Hal Hebat nyanyian kumpulan Govinda dan saya dapat diterima baik bukan sahaja di Malaysia bahkan di Indonesia. Teruskanlah menyokong kerjaya saya sampai bila-bila,” jelasnya.

Lagu Hal Hebat boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian utama.

Muzik video single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.