BUAT julung kalinya, pelakon dan usahawan popular, Fazura bakal menganjurkan konsert Faztival Fazura 2022 pada 11 September depan dengan menghimpunkan barisan artis popular dalam dan luar negara.

Menurut Fazura, 38, penganjuran konsert tersebut merupakan satu kejutan istimewa dan tanda penghargaan buat para peminat yang sentiasa memberikan sokongan kepada kerjaya dan rangkaian produk di bawah jenamanya.

“Sebenarnya saya memang sudah lama teringin nak buat konsert ataupun showcase untuk tujuan ini. Pada mulanya nak buat kecil-kecilan sahaja untuk sambutan hari jadi saya, tapi alhamdulillah ada rezeki untuk tampilkan dalam skala lebih besar.

“Saya pun sudah lama tak menyanyi dan teringin nak berkongsi pentas dengan penyanyi-penyanyi yang saya minati seperti Datuk M. Nasir di mana sejak dari kecil saya memang membesar dengan lagu beliau.

“Selepas melalui fasa sukar ketika pandemik, saya percaya ramai yang menantikan konsert sebegini dan saya harap ia mendapat sambutan ramai nanti,” katanya yang ditemui pada majlis sidang media Faztival Fazura 2022 di Hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur baru-baru ini.

Konsert berdurasi tiga jam yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil itu akan menampilkan Datuk M. Nasir, Datuk Awie, Ella, Ruffedge, Zizi Kirana, Ippo Hafiz dan Amir Masdi.

Lebih istimewa ia turut menyaksikan penampilan artis popular dari Indonesia iaitu Ahmad Band yang diketuai oleh Ahmad Dhani berserta isterinya, Mulan Jameela.

“Saya bersyukur apabila semua artis yang terlibat menerima baik tawaran menjayakan konsert ini termasuk Ahmad Dhani yang kebetulan berada di Kuala Lumpur pada tarikh tersebut.

“Lagipun, Ahmad Dhani juga ada kena-mengena dengan kejutan yang akan saya kongsi dengan peminat dan penonton yang hadir nanti.

“Apa yang akan ditampilkan nanti bukan hanya tentang saya semata-mata, tetapi juga untuk semua yang terlibat,” katanya yang berhasrat untuk mengadakan konsert tersebut setiap tahun.

Iklan

Harga mampu milik

Biarpun menampilkan barisan artis nama besar, Fazura yang juga isteri kepada pelakon Fattah Amin menjelaskan harga tiket konsert tersebut adalah mampu milik seiring dengan misinya untuk menghargai peminat.

“Harga tiketnya adalah mampu milik untuk semua bersesuaian dengan motto perniagaan saya iaitu #MilikSemua. Saya tidak letak harga mahal kerana mahu semua orang boleh beli dan hadir kerana konsert ini memang untuk mereka.

“Biarpun penganjuran konsert ini tanpa penaja dan sepenuhnya daripada bajet sendiri, saya rasa berbaloi kerana ini cara saya menghargai peminat dan pembeli produk-produk saya,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Fazura juga bakal kembali aktif berlakon dan kini sedang mempertimbangkan beberapa tawaran lakonan.

Iklan

“Saya masih ada satu lagi filem yang belum ditayangkan kepada umum iaitu Siti Nurbaya yang menjalani penggambaran sebelum pandemik lalu.

“Buat masa ini saya sedang mempertimbangkan beberapa tawaran yang datang. Mudah-mudahan ada rezeki untuk dapat skrip yang best dan menarik,” akhirinya.

(FOTO: INSTAGRAM FAZURA)