SELEPAS elepas hampir tiga tahun tayangan tertangguh disebabkan pandemik Covid-19, filem aksi komedi, Abang Long Fadil 3 bakal berada di pawagam tanah air pada 8 September ini.

Naskhah arahan Syafiq Yusof itu merupakan sekuel kepada Abang Long Fadil (2014) dan Abang Long Fadil 2 (2017).

Masih mengekalkan Zizan Razak sebagai teraju utama, filem spin off watak Fadil daripada filem KL Gangster itu kali ini mengangkat tema perisikan yang tentunya menampilkan lebih banyak elemen kejutan buat penonton.

Abang Long Fadil 3 mengisahkan tentang seorang bekas gangster kampung dan mafia, Fadil (Zizan Razak) memenuhi misi baharu sebagai seorang ejen perisik. Tugasannya kali ini lebih mencabar melibatkan kes berprofil tinggi.

Fadil perlu menjatuhkan konspirasi jahat Chow Han (Johan), namun dalam masa sama dia diburu oleh King Cobra (Datuk AC Mizal) disebabkan dendam lama.

Antara babak menarik dalam Abang Long Fadil 3.

Syafiq selaku pengarah ternyata bijak menggunakan kreativitinya dalam mencorakkan filem ini agar lebih hebat berbanding dua filem terdahulu.

Meski menampilkan aksi komedi, filem yang menelan belanja pembikinan sebanyak RM6 juta itu mempunyai jalan cerita menarik dan disokong pula dengan babak-babak yang memberikan impak kepada penceritaan.

Tidak hanya mengundang gelak tawa penonton seawal filem bermula sehingga ke penghujungnya, lagak aksi yang dipaparkan juga dilihat seimbang dan memberikan kelebihan kepada pada naskhah.

Selain penampilan hebat Fadil yang mengingatkan penonton kepada filem perisikan popular, Kingsman, babak pertarungan antara watak dan letupan beberapa buah kereta juga nampak realistik dan cukup menghiburkan.

Menurut Syafiq, babak-babak tersebut dilakukan melalui penggambaran sebenar dan hanya menggunakan 20-30 peratus sahaja imej janaan komputer (CGI).

Iklan

Menyentuh tentang lakonan, sememangnya gabungan Zizan dan Johan adalah pilihan tepat untuk filem ini. Keserasian mereka menjadikan Abang Long Fadil 3 sebagai sebuah filem aksi komedi yang paling dinantikan.

Begitu juga dengan Elizabeth Tan yang tampil dengan persembahan lakonan terutamanya untuk babak aksi yang cukup memberangsangkan. Tidak nampak kekok, malah berjaya meyakinkan penonton dengan wataknya sebagai ejen perisikan bernama Alice.

Filem ini turut dibintangi Maya Karin, Datuk AC Mizal, Shuib, Kazar, Joey Daud, Jay Iswazir, Khir Rahman, Daniella Sya, Tania Hudson, Ozlyn Wati dan Siraj.

Iklan

Abang Long Fadil 3, sebuah filem yang cukup menghiburkan dan berbaloi untuk ditonton.

ABANG LONG FADIL 3
Bahasa: Melayu
Klasifikasi: P13
Genre: Aksi/komedi
Durasi: 1 jam 56 minit
Pengarah: Syafiq Yusof
Pelakon: Zizan Razak, Johan, Elizabeth Tan, Maya Karin, AC Mizal
Tarikh Tayangan: 8 September 2022
Terbitan: Skop Productions Sdn Bhd, Astro Shaw