PENERBIT eksekutif filem Anwar, Zunar memberi bayangan naskhah yang memaparkan kisah benar ranjau perjuangan politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menemui penonton tidak lama lagi.

Bagaimanapun setakat ini, belum ada tarikh rasmi tayangan filem tersebut di Malaysia mahupun Indonesia.

“Filem ANWAR bakal temui penonton tidak lama lagi. Lakonan Farid Kamil (Anwar), Acha Septriasa (Azizah). Sutradara: Viva Westi. Eksekutif produser: Zunar,” coret wakil Zunar menerusi medium Twitter.

Filem hasil usaha produksi Bianglala Entertainment dari Indonesia itu menampilkan pelakon Malaysia, Farid Kamil Zahari selaku Anwar Ibrahim berpasangan sebagai suami isteri dengan pelakon popular Indonesia, Acha Septriasa (Wan Azizah Wan Ismail).

Turut sama terlibat dalam pembikinan filem cakera itu ialah Hasnul Rahmat (Dr. Mahathir Mohamad), Firdaus Mat Joni, Piet Pagau dan Dewi Irawan.

Rata-rata rakyat Malaysia sudah tidak sabar menantikan naskhah yang dianggap bakal meletup di pawagam.

Iklan

Filem mengisahkan perjuangan Anwar Ibrahim melawan sebuah sistem yang korupsi. Beliau tegas menolak berbagai jenis imbuhan dan wang tunai daripada pihak tertentu.

Beliau juga enggan menggunakan wang rakyat untuk menyelamatkan syarikat anak pemimpin tertentu yang kerugian berbilion ringgit.

Iklan

Kerana keengganan itu, dia difitnah dengan sebuah konspirasi besar sehingga dipecat daripada jawatan, dipukul secara brutal dalam lokap dan dibiarkan tanpa rawatan perubatan hingga beberapa hari.

Dari seorang Menteri Kewangan terbaik yang didakwa berjaya membebaskan Malaysia daripada belenggu hutang, akhirnya beliau merengkok dalam penjara.