Fouziah Gous tolak jalan pintas

A
A
A

NAMA Datin Fouziah Gous sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri seni tanah air.

Jika dicongak, beliau sebenarnya sudah 17 tahun berada di pentas lakonan dan pengacaraan.

Masa yang berputar ligat menyaksikan selebriti itu sudah menginjak usia 40 tahun pada Disember ini. Ah! Cepatnya detik jam berdetak.

Namun, apa yang penulis pasti, wajah beliau seperti tidak dimamah usia.

Kejelitaan masih kekal miliknya. Kemulusan kulit pelakon yang cukup hit dengan drama Cinta Medik itu juga sangat terserlah.

Terpakulah dibuatnya. Justeru, sukar mahu menelan hakikat bahawa Fouziah kini berada pada tingkatan umur berkenaan.

Saat mendengar kata-kata tersebut dilantunkan oleh pihak media, wanita tinggi lampai berdarah kacukan Cina, Pakistan dan Melayu itu tersenyum simpul.

Kami terus menebak apakah petua dan rahsia keelokan rupa paras ibu kepada Muhammad Zeeshan, 6, dan Zaheen Yusuf, 5, yang terus bertahan.

Akui isteri kepada Datuk Mohd Zhafran Md Yusof itu, beliau sama sekali tidak mempercayai terdapat jalan singkat dalam bab menjaga penampilan.

“Penglibatan saya dalam perniagaan minuman kesihatan berasaskan sarang burung, FGWalet membuatkan saya banyak belajar tentang bahan yang terkandung dalam sesuatu produk.

Lagi saya belajar, ia menambah ketakutan saya,“ ujarnya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Jualan Hari Jadi Kelapan Astro Go Shop di Kuala Lumpur baru-baru ini.

FOUZIAH GOUSBakal menginjak ke usia 40 tahun Disember ini, Fouziah tetap kelihatan cantik sama seperti rupanya 10 tahun lalu. (Foto : Azrul Rafie)

Meneruskan ritma bicara, Fouziah berkata, masyarakat yang juga seorang pengguna atau pembeli, seharusnya perlu ada ilmu tentang item kecantikan yang mahu digunakan. Jangan bersikap semberono.

“Kalau percaya bulat-bulat tanpa mengetahui kesan akan datang, ia pastinya akan memberi implikasi (negatif) pada kemudian hari,“ ungkapnya.

Kepada satu soalan, personaliti tersebut berkata, beliau sejujurnya tidak berani untuk menghukum keputusan individu lain yang memilih untuk melakukan rawatan tertentu demi kelihatan anggun.

Ujar Fouziah lagi, paksi kepada kecantikan juga tidak hanya bersandarkan kepada produk semata-mata. Amalan pemakanan yang diambil juga memberi pengaruh cukup besar.

“Sebenarnya kalau ambil makanan yang betul, insya-ALLAH, segala-gala akan baik-baik saja. Namun, kalau kita makan makanan yang berlebihan minyak, garam, gula tidak jaga, elemen-elemen itu pastinya akan memberi natijah kurang baik,“ tegasnya yang mengamalkan minuman sarang burung setiap hari sebagai penggalak.

Misi besar

Waktu yang tidak mengizinkan membuatkan penulis terus membelokkan skop soalan yang juga relevan dengannya.

FOUZIAH GOUSBelum bersedia untuk meninggalkan dunia seni secara total, Fouziah masih aktif dalam dunia pengacaraan berbanding lakonan. (Foto : Azrul Rafie)

Tutur Fouziah, drama Sara Sajeeda pada tahun 2019 merupakan naskhah terakhir yang dibintangi. Kemudian, beliau lebih rancak dalam lapangan pengacaraan.

Jelas anak kelahiran Kuala Lumpur itu, walaupun tidak lagi aktif berlakon, tawaran tidak pernah putus. Pun demikian, kesibukan mengurus bisnes FGWallet membataskan pergerakannya.

“Selain aktif sebagai pengacara Astro Go Shop, saya juga ada terlibat dengan program stesen televisyen lain.

“Untuk karier lakonan, tetap ada pelawaan, tetapi disebabkan kekangan masa, saya hanya terima projek khas seperti menjadi tetamu undangan dalam Sepahtu Reunion Live.

“Bukan saya tak mahu kembali berlakon drama bersiri, tetapi saya belum ada seseorang yang saya percaya untuk kendalikan bisnes saya,“ terangnya.

Fouziah menambah, biarpun perniagaan menjadi fokus utamanya, beliau belum terfikir untuk meninggalkan karier seni secara total.

“Dulu masa saya aktif berlakon, soalan yang paling kerap wartawan tanya, apa yang saya nak buat 10 tahun akan datang? Jawapan saya, mahu jadi ahli perniagaan.

“Sekarang saya sedang mengotakan apa yang saya katakan. Menjelang usia 40 tahun nanti, tiada apa yang saya harapkan, selain mahukan perniagaan saya akan terus sukses dan perancangan menembusi pasaran luar menjadi kenyataan," katanya mengakhiri perbualan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca