KUMPULAN nasyid yang cukup dikenali pada penghujung era 1990-an, Saujana bakal muncul dengan konsert pertama sempena sambutan ulang tahun ke-25 tahun, pada 5 Mac depan, jam 8.30 malam di Zepp Kuala Lumpur.

Persembahan istimewa tersebut akan menggabungkan kesemua anggota asal kumpulan tersebut yang terdiri daripada Mohammad Suffian Amrin, Azalinor Abdul Rahman, Ahmad Zuhaidi Abdul Aziz, Dr Khairul Idzwan (Idzu) Baharin, Mohd Hakimi Harun, Dr Faizul Hizal Ghazali dan Wan Najran Wan Noh.

Dibawakan Scriptology serta Mac Training Centre selalu produksi rasmi, konsert yang menggunakan Dana Kandungan Digital (Industri Muzik) itu mendapat sokongan sepenuhnya daripada My Creative Ventures serta Kementerian Komunikasi Digital.

Menurut Zuhaidi yang juga bertindak selaku pengarah projek, idea menggabungkan semula anggota asal Saujana dalam sebuah persembahan sudah pun tercetus sejak lima tahun lalu.

“Apabila melihat ramai kawan-kawan dalam arena muzik nasyid tampil dengan konsert, kami juga rasa terpanggil untuk buat perkara sama. Lebih-lebih lagi Saujana tidak pernah buat konsert sebelum ini.

“Alhamdulillah, saya rasa inilah masanya untuk kami gabungkan semula ahli-ahli lama untuk menghargai 25 tahun Saujana dalam industri muzik,” ujarnya.

Konsert Saujana 25 Tahun bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 5 Mac depan.

Tampil dengan kelainan tersendiri, persembahan tersebut akan menampilkan konsep persembahan unik menerusi gabungan lagu ketuhanan dengan irama tradisional, hasil kolaborasi Saujana bersama Orkestra Tradisional Malaysia (OTM), pimpinan Yazid Zakaria.

Selain itu, ia turut menampilkan beberapa artis undangan seperti Nazrey Johani (bekas vokalis Raihan), kumpulan Awla (gabungan Saujana dan NowSeeheart), Andika serta Ustaz Nabil.

Lagu popular

Tambah Zuhaidi, persiapan konsert tersebut sedang berjalan lancar, malah mendapat kerjasama baik daripada mereka yang terlibat.

“Atas perbincangan bersama, kami cuba cetuskan sebuah konsep yang sedikit berbeza iaitu menggabungkan lagu-lagu ketuhanan Saujana dengan irama tradisional.

“Ia sesuatu yang segar dan unik kerana ia bukan sahaja boleh menarik minat penggemar muzik nasyid sahaja tetapi juga penggemar muzik Melayu.

Iklan

“Berpeluang bekerjasama dengan OTM pimpinan Encik Yazid Zakaria adalah satu penghormatan yang besar buat kami,” katanya yang juga pemilik Scriptology bersama Azalinor.

Persembahan tersebut bakal membawa peminat untuk menggamit nostalgia lalu dengan dendangan seleksi lagu-lagu popular mereka seperti Keluarga Bahagia, Suci Sekeping Hati, Sepohon Kayu, Usia Antara Masa, Bulan Bintang dan lain-lain.

Saujana sebelum ini pernah menghasilkan tujuh buah album studio dengan judul Saujana yang diterbitkan pada 1997, Saujana II (1999) Kembara Cinta (2000), Rahsia (2002), Lima Bintang (2004), Jalan Sehala (2005), Nota Cinta (2010) dan Aku Cinta Allah (2013).

Selepas sedekad bersama, Idzu, Hakimi, Faizul dan Wan Najran meninggalkan kumpulan itu atas tuntutan kerjaya profesional, manakala Suffian, Azalinor dan Zuhaidi meneruskan perjuangan Saujana.

Iklan

Tiket Konsert Saujana 25 Tahun dijual pada harga RM265, RM213, RM161 dan RM109 dan pembelian boleh dibuat menerusi laman web: www.ticket2u.com.my

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.