Gambar di salah guna, Tok Ti beri peringatan
LAMBAKAN produk di pasaran membuatkan ada segelintir peniaga tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menggunakan testimoni palsu bagi menarik pelanggan.
Lebih berani, ada yang menggunakan gambar selebriti popular sebagai testimoni.
Antaranya adalah penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang turut menjadi mangsa.
Tidak berdiam diri, wanita berusia 43 tahun itu turut memberi amaran kepada golongan peniaga dalam talian agar tidak menyalahgunakan fotonya bersama suami, Datuk Khalid Mohd Jiwa semata-mata ingin melariskan produk jualan mereka.
“Bila saya diam, makin rancak mereka menyebarkan perniagaan yang tak melibatkan saya atau suami. Gambar saya dan suami dipaparkan dalam iklan perniagaan serta testimoni juga.
“Saya dah banyak kali hadapi perkara ini, pesan saya, berniagalah cara yang betul. Jangan mengambil kesempatan ke atas orang lain,” ujarnya menerusi hantaran di Instagram.
Siti juga menegaskan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana jenama lain selain SimplySiti, Beausiti, Afiya.my dan kerjasama dengan jenama produk rambut.
Pesan ibu kepada dua cahaya mata itu, setiap peniaga harus jujur dalam berniaga dan tidak sepatutnya menipu para pelanggan dengan testimoni palsu.
“Kepada anda yang ada membaca, membeli atau terlihat iklan-iklan sebegini, saya ingin menjelaskan bahawa saya dan suami tidak ada kena mengena dengan produk mereka.
“Berniagalah untuk mencari keberkatan dan bukan untuk melariskan produk dengan menggunakan iklan palsu.
“Saya harap kita sebagai pengguna akan lebih peka dengan iklan-iklan seumpama ini,” katanya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang