Gandingan luar biasa Sam Bunkface, Inteam dalam Mencari Sinar

A
A
A

DALAM usaha untuk menyajikan sesuatu yang segar dan berbeza buat pendengar muzik tanah air, dua nama besar dalam genre muzik berbeza, In-Team dan Sam Bunkface tampil dengan sebuah kolaboratif istimewa.

Inteam yang dikenali menerusi irama pop nasyid dan Sam Bunkface pula mewakili genre punk rock bergabung menghasilkan single Mencari Sinar.

Karya yang membawa mesej tentang penghijrahan itu dilancarkan bersempena bulan Ramadan yang sinonim dengan motivasi seseorang untuk berubah atau berhijrah menjadi lebih baik.

Inteam yang dianggotai oleh Mohd Syahril Abdul Khalid, Muhammad Hazamin Harun, Hisyam Ahmad dan Abdul Rahim Osman meluahkan rasa syukur apabila diberikan pelung untuk terlibat dalam single Mencari Sinar terbitan Smileyriver.

“Alhamdulillah, Inteam diberi kepercayaan oleh pihak Smileyriver sekali lagi berkolaboratif untuk lagu Mencari Sinar selepas single Jangan Menghina bersama Alif Satar pada 2016.

“Biarpun pertama kali bergandingan dengan Sam Bunkface, proses rakaman lagu ini tidak mengambil masa lama dan berjalan lancar.

“Harapan kami agar lagu Mencari Sinar mendapat sambutan di kalangan semua pendengar baharu dan lama,” kata Inteam.

Mencari Sinar merupakan sebuah karya baharu yang terhasil daripada melodi dan lirik asal yang ditulis oleh penyanyi lagu dakwah yang cukup popular pada era 1970 dan 80an iaitu Allahyarham Ahmadi Hassan.

Ia merupakan salah sebuah karya terakhir Allahyarham yang belum pernah dirakam dan satu-satunya karya ciptaannya yang diselitkan elemen rap.

Bagaimanapun, bagi mengukuhkan lagi mesej yang terkandung dalam lagu tersebut, Sam Bunkface telah membuat improvisasi pada rangkap rap tersebut.

Mencari Sinar memberikan bunyi berbeza menerusi susunan muzik hasil sentuhan Sam sendiri bersama Epul Kuat, selain Fauziah Gambus sebagai pemuzik jemputan.

Sam Bunkface dan Inteam bersama Fauziah Gambus sebagai pemuzik undangan dalam single Mencari Sinar.

Menurut Sam, single tersebut cukup istimewa buatnya kerana ia merupakan sebuah karya yang lain daripada kebiasaannya.

“Saya pernah berdoa nak menyebut nama ALLAH dan Rasul dalam lagu nyanyian Bunkface, tapi selalu tak jadi.

“ALLAH makbulkan doa saya apabila label Smileyriver tiba-tiba menawarkan saya untuk tampil berkolaboratif menerusi lagu Mencari Sinar.

“Saya dan Epul mengambil masa lebih kurang satu minggu menghasilkan sususan muzik yang sesuai seperti yang dibincangkan dan kami cuma mengambil masa sehari untuk proses rakaman suara bersama Inteam,” jelasnya.

Menyifatkan kerjasama bersama Inteam sebagai suatu pengalaman menarik, Sam berkata, banyak ilmu baharu yang dipelajarinya.

“Alhamdulillah, bekerja dengan Inteam sangat mudah. Apatah lagi mereka lebih berpengalaman dan saya banyak mengambil input dan belajar daripada mereka.

“Ia mencabar buat saya kerana ia merupakan kali pertama menerbitkan lagu untuk kumpulan nasyid dan berkolaboratif dengan genre berbeza daripada muzik yang saya bawakan,” katanya yang berharap mesej dalam lagu tersebut dapat memberi inspirasi kepada orang ramai.

Mencari Sinar kini boleh didapati di kesemua platform digital bermula 9 April lalu.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca