BAGAI ambil giliran. Begitu yang boleh disimpulkan kerancakan industri muzik sejak awal tahun ini apabila seorang demi seorang penyanyi mengambil kesempatan mengadakan showcase dan juga konsert.

Terbaharu, buat julung kalinya penyanyi serba boleh tanah air, Hael Husaini akan mengadakan sebuah konsert berjudul ‘Hael Husaini Live In KL’ (HHLIKL).

Konsert direncanakan berlangsung pada 4 Disember 2022, jam 8 malam, di Zepp Kuala Lumpur dan dibawakan Rocketfuel Entertainment.

“HHLIKL merupakan konsert solo pertama saya selama hampir 15 tahun menjadi anak seni. Saya percaya ini adalah impian buat kesemua penyanyi,” ujarnya.

Tambah Hael, konsert ini adalah kesinambungan daripada kejayaan showcase khas ‘An Evening With Hael Husaini’ yang berlangsung pada 30 Jun lalu di Nero Event Space Bandar Utama.

“Selain ingin melakukan persembahan yang terbaik pada malam itu nanti, konsert ini juga merupakan lambang penghargaan kepada semua peminat dan penyokong saya yang masih setia dari awal kemunculan sehinggalah sekarang.

“Saya yakin mereka akan dapat merasakan pengalaman perjalanan karier muzik saya sepanjang malam konsert itu nanti. Saya akan terjemahkan kesemuanya melalui lagu dan persembahan,” jelasnya.

Optimis

Walaupun banyak konsert penyanyi dalam dan luar negara yang berlangsung kini, penyanyi berusia 35 tahun itu tidak menjadikan ia sebagai satu cabaran besar.

“Saya bersyukur mendapat sokongan yang hebat daripada pihak pengurusan dan label muzik saya, Rocketfuel Entertainment, rakan media dan sahabat-sahabat industri hiburan yang lain.

“Walaupun ada sedikit cabaran dari segi persaingan dengan konsert-konsert artis bernama besar dan antarabangsa yang dianjurkan dalam lingkungan masa yang sama, saya tetap yakin dan optimis untuk menjadikan konsert ini satu kenyataan,” katanya yang baharu sahaja menjadi tetamu jemputan untuk konsert Rossa baru-baru ini.

Iklan

Berkongsi persiapan menjelang konsert sulungnya, pemilik nama penuh Hal Husaini Razmi itu memaklumkan, sudah lebih 50 peratus persediaan dilakukan.

“Persembahan muzik pada malam itu nanti akan diketuai oleh pengarah muzik terkenal iaitu Sze Wan manakala Jennifer Thompson bertindak sebagai pengarah konsert.

“Konsert ini dijangka berlangsung selama dua jam dengan rangkaian 23 buah lagu. Bagaimanapun, pemilihan lagu masih lagi dalam fasa terakhir perbincangan.

Iklan

“Bilangan lagu yang akan akan saya sampaikan masih lagi dalam perbincangan kerana terlalu banyak lagu yang ingin kami sampaikan pada malam konsert nanti, jadi harus betul-betul memilihnya,” ujarnya yang memaklumkan akan tampil dengan banyak kejutan pada malam konsert itu.

Tiket berharga RM139 sehingga RM409 sudah mula dijual menerusi haelhusaini.ubertickets.my.

Bukan itu sahaja, bagi yang berminat untuk datang berkumpulan (10 orang) dan inginkan privasi, boleh dapatkan tiket pada harga RM3,999 hingga RM6,999.