SELEPAS beberapa tahun menyepikan diri daripada industri seni, penyanyi Haida Hasnan akhirnya membuat penampilan semula menerusi penyertaannya dalam Gegar Vaganza musim sembilan (GV9) yang baru sahaja membuka tirai pada Ahad lalu.

Mengakui hasrat menyertai GV sebelum ini tidak menjadi kenyataan atas pelbagai sebab, Haida, 44, mahu mengambil peluang tersebut sebaik mungkin agar tidak mengecewakan para peminatnya.

“Antara sebab utama saya bersemangat menyertai GV9 adalah kerana galakan daripada ibu saya sendiri, selain sokongan padu peminat sejak bertahun-tahun.

“Setiap kali musim GV tiba, ibu akan suruh saya masuk. Peminat pula akan petik nama saya sebagai calon peserta dan sebagainya.

“Kepercayaan itu akhirnya menjadi satu semangat buat saya untuk mengambil cabaran dalam GV. Alhamdulillah akhirnya saya terpilih sebagai peserta GV9,” ujarnya kepada Sinar Plus.

Bagaimanapun, penyanyi yang kini menetap di Melaka itu sedar cabaran besar bakal dilaluinya, apatah lagi apabila barisan peserta kali ini terdiri daripada mereka yang mempunyai vokal hebat dan masih aktif dalam industri.

“Pada mulanya saya gementar tengok senarai peserta kerana semuanya ada pencapaian hebat dalam industri, tapi dalam masa sama saya rasa sangat beruntung dapat berkongsi pentas bersama mereka.

“Setiap pertandingan pasti ada kalah menang, tetapi apa yang lebih penting pada saya adalah proses dan pengalaman yang akan saya lalui bersama mereka ini,” akuinya.

Ibu tunggal

Pada konsert minggu pertama Ahad lalu, Haida yang menyanyikan lagu popularnya, Hajat, berada di kedudukan kesembilan daripada keseluruhan 13 peserta dan persembahan tersebut turut mendapat respons positif daripada barisan juri dan penonton.

“Saya seorang yang terbuka menerima apa sahaja kritikan daripada juri dan dalam masa sama bersedia dengan sebarang kecaman netizen, jika ada.

“Dalam usia begini, kita perlu ada kebijaksaan dalam menangani apa sahaja kemungkinan yang datang. Saya sentiasa realistik.

Iklan

“Zaman ketika saya masih aktif dalam bidang seni dulu dan sekarang sangat berbeza. Saya kena pandai sesuaikan diri dan beradaptasi agar perjalanan dalam GV9 serta penampilan semula dalam industri berjalan lancar,” tegasnya.

Aksi Haida pada persembahan minggu pertama GV9 pada Ahad lalu.

Dalam perkembangan lain, Haida yang kini berstatus ibu tunggal kepada tiga anak lelaki itu aktif dalam bidang perniagaan termasuk mengusahakan sebuah bengkel kereta sejak tiga tahun lalu.

“Selepas tidak lagi aktif dalam bidang seni, saya beralih kepada perniagaan. Pernah buat macam-macam termasuklah katering, pengurusan acara dan terkini bengkel kereta yang mula diusahakan sebelum pandemik lalu.

Iklan

“Selain itu, saya juga sibuk uruskan anak-anak. Alhamdulillah sekarang anak sulung masuk universiti dan anak kedua pula dah selesai SPM, selain yang bongsu kini berusia sembilan tahun.

“Sekarang kehidupan kami bertambah baik dan bila anak-anak dah besar, saya boleh kembali fokus kepada kerjaya,” katanya yang sudah lebih lapan tahun hidup sendiri.

(FOTO: AZRUL RAFIE – ASTRO)