Hampir ‘dilupakan’, Nadia Aqilah kembali cari kualiti

A
A
A

BERGAYA dan berbakat besar. Mungkin itu yang penulis boleh simpulkan mengenai sosok bernama Nadia Aqilah Bajuri.

Mula berada dalam industri seni sejak 16 tahun lalu, Nadia sudah berkecimpung dalam pelbagai cabang meliputi lakonan drama, filem, teater dan juga bergelar penyanyi.

Namun seperti kebanyakan bintang berbakat yang lain, personaliti berusia 36 tahun itu tidak mencapai puncak populariti sama dengan rata-rata pendatang baharu masa kini.

Akui isteri kepada vokalis dan gitaris kumpulan Seven Collar T-Shirt, Saiful Ridzuan Sharafuddin, beliau pernah terfikir bahawa kerjayanya sudah berakhir tatkala memilih untuk berehat seketika daripada industri seni saat hamil anak pertama pada tahun 2019.

“Selepas alami alahan yang teruk ketika mengandung anak pertama, saya terpaksa memilih untuk berehat seketika dari pentas lakonan.

“Kemudian, saya merancang untuk kembali semula selepas bersalin pada awal tahun lalu, bagaimanapun negara dilanda pandemik Covid-19.

“Ketika duduk di rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan, saya pernah terfikir, adakah kerjaya lakonan saya sudah berakhir?“ soalnya ketika ditemui pada majlis sidang media drama bersiri Dukun Diva di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Namun, kini perasaan itu sudah berlalu dan nadia mengharapkan selepas ini, beliau berpeluang membintangi karya yang lebih berkualiti dan boleh diingati penonton.

“Kalau kita lihat Hollywood atau broadway, pelakon wanita yang berusia 30-an sudah mendapat kepercayaan untuk memegang watak yang lebih besar dan kuat.

“Lebih-lebih lagi apabila sudah bergelar ibu, saya mahu anak saya bangga melihat lakonan saya dan bukannya watak yang hanya sekadar ‘lalu’ di skrin.

“Justeru, saya berharap watak saya sebagai Che Yah dalam drama Dukun Diva boleh menjadi permulaan untuk ‘penghasilan’ watak wanita yang lebih kuat dan utuh,“ jelasnya.

Nadia tampil dengan lakonan mantap dalam Dukun Diva sebagai Che Yah bersama Eyka Farhana sebagai Lola.

Ditanya mengenai isu bakat baharu yang mempunyai jumlah pengikut tinggi di media sosial menjadi pilihan stesen televisyen, Nadia dengan tegas tidak bersetuju dengan budaya sebegitu.

“Sudah tentu bakat sangat penting dalam sesebuah naskhah.

“Beginilah, kalau mereka percaya bakat juga mampu menjual sesebuah karya dan ambil pelakon berbakat yang ada 2,000 jumlah pengikut pun boleh berjaya. Secara tidak langsung, ia juga boleh membantu pelakon itu menambah jumlah pengikut di media sosial.

“Dari sudut lagi, ada beza di antara pelakon dengan influencer. Kalau suruh pelakon buat video untuk ditularkan di media sosial, mungkin tidak berjaya. Jadi, bagi saya, percaya pada bakat dan bukannya populariti semata-mata,“ katanya.

Harapan

Berkongsi lebih lanjut penglibatannya dalam drama bersiri Dukun Diva, Nadia berkata, watak Che Yah ialah seorang artis yang ‘tak menjadi‘ pada era 90-an. Wanita itu kemudian menggunakan bakatnya dengan menyamar menjadi dukun.

Ujar pelakon itu, pada asalnya, beliau tidak percaya apabila ditawarkan sebagai pemain utama dalam naskhah berkenaan.

“Saya meminta pengarah, Ariff Zulkarnain untuk menghantar nama saya ke stesen televisyen sama ada diluluskan atau tidak. Bila Ariff beritahu nama saya dipersetujui penerbit, penulis skrip dan dia sendiri, saya rasa terkejut.

“Kemudian saya hubungi Ariff semula dan bertanya mengenai watak. Sebaik mendengar mengenai karakter Che Yah, saya tidak berfikir panjang untuk bersetuju,” ceritanya.

Penggambaran drama itu bermula pada April lalu. Pun demikian, berbaki tiga hari lagi untuk siri itu berakhir, Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 dikuatkuasakan, ujar Nadia.

“Jadi, kami hanya dapat sambung semula setelah kebenaran penggambaran diberikan. Selepas melihat hasilnya, saya rasa segala kepenatan kami berbaloi,“ ujarnya.

Kepada penulis, Nadia mengakui berdebar menantikan reaksi penonton terhadap drama tersebut termasuk mutu lakonannya.

“Saya memang sudah lama mahu membawakan watak komedi, tetapi ada yang mempertikaikan boleh ke saya pegang watak ini (komedi). Namun, apa yang saya boleh katakan, watak Che Yah ini memang berbeza dan saya harap penonton menyukainya,“ katanya.

Nadia (tiga dari kiri) bersama sebahagian pelakon Dukun Diva.

Selain Nadia, Dukun Diva turut dibintangi Eyka Farhana, Emelda Rosemila, Tony Eusoff, Siti Khadijah Halim, Kahoe Hon, Adlin Aman Ramlie dan Aloy Paradoks.

Ia turut diperhebatkan lagi dengan penampilan istimewa beberapa pelakon terkenal daripada pelbagai latar berbeza seperti Che Puan Juliana Evans, Douglas Lim, Aziz M Osman, Sanjana Suri, Anas Ridzuan, Mat London, Fadhli Masoot dan Dee Al Hadi.

Episod pertama Dukun Diva akan ditayangkan secara serentak di saluran Astro Citra dan Astro Ria pada jam 9 malam pada 6 Disember ini. Sementara untuk minggu seterusnya, drama itu bersiaran pada setiap hari Isnin, jam 9 malam, eksklusif di Astro Citra.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca