FILEM seram yang ditunggu ramai, Harum Malam kini bersedia untuk memasuki pawagam seluruh tanah air bermula 9 Februari ini.

Buah tangan terbaharu pengarah tersohor Dain Said itu tampil dengan penuh kejutan dan sentuhan kreatif yang bakal memberikan keseronokan tersendiri kepada penonton terutamanya peminat filem seram tempatan.

Harum Malam mengisahkan tentang Iqbal, seorang remaja lelaki yang dilahirkan dengan kebolehan luar biasa boleh melihat makhluk ghaib. Menganggap ia sebagai beban menyeksakan, Iqbal tekad menolak kebolehan tersebut.

Namun apabila makhluk ghaib tersebut mula mendatangkan bahaya kepada orang-orang di sekelilingnya, Iqbal terpaksa berhadapan dengan kebolehan itu untuk menyelamatkan keluarga serta rakan-rakannya.

Gandingan Nadiya Nisaa dan Bront Palarae tidak pernah mengecerwakan penonton.

Dain yang sebelum ini pernah tampil dengan filem-filem seperti Bunohan, Interchange dan Dukun itu sekali lagi menyajikan jalan cerita yang cukup menarik dan mampu mengajak penonton untuk berfikir lebih kritis seiring nilai hiburan yang disajikan.

Babak-babak seram penuh dengan kejutan, sekali gus membuatkan penonton tidak senang duduk. Rasa takut, marah, sedih dan jijik bergantian mengisi peranan sepanjang cerita berjalan.

Menambah keseraman, filem ini juga menampilkan taman mini tumbuhan eksotik yang penuh dengan kegelapan sebagai simbolik penceritaan. Penghasilannya dilakukan dengan cukup teliti sehingga terlihat benar-benar wujud dalam dunia nyata,

Begitu juga dengan teknik solekan khas untuk karakter terbabit dilakukan dengan cemerlang sehingga menimbulkan keseraman yang mampu mencetuskan igauan ngeri.

Barisan pelakon hebat

Kelebihan filem terbitan Apparat dengan kerjasama D’Ayu Pictures dan Skop Productions ini juga terletak pada barisan pelakonnya yang hebat memainkan peranan mereka, baik untuk karakter utama mahupun pembantu.

Bakat-bakat muda seperti Idan Aedan yang memegang watak sebagai Iqbal dan Arnie Shasha (AhBoy/Nurul) sangat menyerlah dan berjaya memberikan lakonan terbaik mereka dalam menghidupkan jalan cerita.

Antara babak menarik filem Harum Malam.

Iklan

Namun sayang sekali kelancaran filem ini terganggu dengan isu penapisan daripada pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF). Banyak babak yang dikaburkan visualnya, selain dialog-dialog yang disenyapkan untuk memenuhi klasifikasi P13 bagi filem ini.

Perkara tersebut pastinya menganggu mood penonton, sekali gus terlihat babak tersebut sebagai satu pembaziran yang tidak sepatutnya berlaku. Apatah lagi ia membabitkan lebih 14 babak yang tentunya mampu memberi lebih impak sekiranya ia ‘dilepaskan’.

Apa-apapun, Harum Malam adalah sebuah filem seram yang berbaloi untuk ditonton.

Iklan

Harum Malam
Bahasa: Melayu
Klasifikasi: P13
Genre: Seram
Durasi: 1 jam 42 minit
Pengarah: Dain Said
Pelakon: Bront Palarae, Idan Aedan, Arnie Shasha, Nadiya Nisaa, Nabila Huda, Remy Ishak
Terbitan: Apparat, D’Ayu Pictures dan Skop Productions
Tarikh Tayangan: 9 Februari 2023

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.