PENYANYI, Jaclyn Victor mengakui hatinya kembali dimiliki selepas bercerai dengan anggota kumpulan Az Yet, Shawn Rivera.

Menurut Jaclyn atau lebih mesra dipanggil Jac, dia tidak sama sekali menyangka akan bertemu seseorang yang boleh menerima dirinya dan dua anaknya, Jonah Joshiah Rivera, 5, dan Molly Marguerite Rivera, 3.

Ujar Jac, proses perkenalan dengan lelaki berstatus duda itu tidak memakan masa yang lama.

“Saya sangat gembira apabila telah bertemu dengan seseorang. Dia bukan dari kalangan orang seni dan dia tak mengenali siapa saya (sebagai selebriti).

“Saya bukanlah terlalu terdesak untuk cari pengganti selepas bercerai dan tak jangka akan jumpa seseorang yang boleh terima saya dan anak-anak.

“Ia berlaku secara semula jadi dan walaupun baru berkenalan, kami cepat berasa serasi dan selesa.

“Saya dah 42 tahun, tak ada masa untuk main-main lagi. Jadi bila saya bertemu dengan seseorang saya akan serius dan dia pun sama.

“Buat masa ini saya tidak mahu bercerita lanjut tentang gerangan lelaki itu, Tapi bila dah tiba masanya, saya akan kongsikan kepada umum,” katanya ketika ditemui di majlis perasmian B.A.T.S Restaurant and Lounge miliknya yang terletak di Bangsar, semalam.

Iklan

Tambah pelantun lagu Gemilang itu, lelaki terbabit sangat rapat dengan Jonah dan Molly.

“Hubungan anak-anak dengan dia sangat rapat. Mereka panggil dia papa.

“Saya bersyukur apabila ditemukan dengan seorang insan yang sangat baik. Dia sangat mengambil berat dan menjaga anak-anak saya.

Iklan

“Macam mana dia sibuk pun, setiap hari dia akan luangkan masa. Bayangkan anak saya dari tidak mengenal huruf, boleh membaca dan melukis dengan baik disebabkan tunjuk ajar dari dia,” ujarnya.

Pada Januari lalu, Shawn menerusi Facebook mendedahkan perkahwinannya dengan Jac sudah berakhir selepas lima tahun berkahwin.