PERJALANAN Rahmad Mega dalam program Hijrahkan Laguku terhenti di minggu ketiga apabila hos, Faizal Ismail dan Bell Ngasri mengumumkan penyingkirannya pada Sabtu.

Menerusi program yang disiarkan secara langsung dari Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah itu, PG Adam turut diumumkan sebagai bintang yang berada di kedudukan dua terbawah.

Bertemakan bebas, Rahmad yang membawakan lagu Hentikan Alasanmu dengan gubahan lirik baru hanya mendapat 60 markah keseluruhan daripada juri professional iaitu Fauzi Marzuki, Hazamin Inteam serta Ustaz Syed Norhisyam Tuan Padang.

Rahmad yang ditemui setelah program itu tamat berkata, beliau menerima keputusan juri dengan hati terbuka dan tidak menganggap bahawa ini adalah penamat kepada usaha dakwah.

“Saya menghadapi sedikit kesukaran untuk memilih lagu episod ketiga. Manakan tidak, saya perlu pastikan lagu itu bukan sahaja boleh dinyanyikan dengan baik namun perlu elemen lirik ketuhanan serta suntikan dakwah.

“Ini bukan pengakhiran kepada kerja dakwah saya. Tetapi ini adalah permulaan kepada lebih banyak usaha pendakwahan dan langkah kerjaya yang lebih baik di masa hadapan. Saya ucapkan selamat maju jaya kepada rakan-rakan artis lain yang masih berada di pentas HL,” katanya.

Persembahan Mark Adam semakin menyerlah minggu demi minggu.

Dalam pada itu, Mark Adam menerima Anugerah Bintang Nurani. Penganugerahan ini diberikan atas peningkatan nyanyian dan persembahan penyanyi kelahiran Filipina ini dari minggu pertama walaupun acapkali menerima kritikan pedas daripada ketua juri, Fauzi Marzuki.

Sementara itu, Datuk Nash yang menyanyikan lagu Tiada lagi Kidungmu mendapat markah tertinggi (78 peratus) diikuti Shahir Zawawi ditempat kedua dengan lagu Rasul (72 peratus) dan Zaf V.E di tempat ketiga dengan lagu Tunjuk Jalanmu (70 peratus).

Iklan

Selain itu, persembahan lain yang berjaya memukau penonton adalah Iwan Shahman (Tuhan), Zack Kool dengan (Tidak Kekal Lama), Mark adam (Isteriku) dan PG Adam (Mari Mengaji). Lagu Tolaal Badru Alaina pula dipilih sebagai lagu penutup berkumpulan.

Hijrahkan Laguku yang bersiaran setiap Sabtu, jam 9 malam mendapat tajaan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Hotel Premiera Kuala Lumpur.

Iklan

Klip sedutan sesi latihan vokal, persiapan persembahan dan trivia para peserta boleh ditonton melalui liputan kapsul yang disiarkan setiap hari, jam 7.55 malam.

Siaran ulangan HL turut boleh ditonton di TV AlHijrah pada setiap Ahad, jam 4.30 petang. Manakala rancangan Hijrah Prihatin beama artis HL pula disiarkan setiap Sabtu dan Ahad, jam 1 tengah hari.