MINGGU kelima program Hijrahkan Laguku menyaksikan tiada penyingkiran dan keenam-enam bintang mara ke minggu suku akhir pada 25 Disember depan.

Bagaimanapun debaran tetap dirasai apabila Shahir Zawawi dan PG Adam diumumkan berada di kedudukan dua terbawah, sebelum hos Faizal Ismail dan Bell Ngasri mengumumkan tiada penyingkiran yang berlaku pada minggu itu.

Debaran penyingkiran : Shahir dan PG Adam berada di kedudukan terbawah pada minggu kelima.

Menerusi persembahan bertemakan Laguku Lagumu Jua yang berlangsung di Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah itu, Datuk Nash menyampaikan lagu Firman Siagian berjudul Kehilangan mendapat markah tertinggi iaitu 86 markah.

Penampilan Istimewa Saharul Ridzwan yang membacakan hadith Nabi.

Tambah menarik, Nash mengundang aktor, Saharul Ridzwan untuk membacakan petikan hadith Rasulullah SAW.

Iwan Shahman pula berada di tempat kedua dengan 76 markah setelah menyanyikan lagu Rahmat Ekamatra bertajuk Siapa Di hatimu yang diubah lirik menjadi lagu Allah Di Hatiku.

Tempat ketiga dengan 72 markah dimenangi Zaf VE yang menyanyikan lagu Bila Rindu, lagu asal Rod Stewart berjudul When I Need You.

Percaturan berani Zaf VE serta sifat konsisten beliau dalam menzahirkan karya kecintaan terhadap Nabi Muhammad pada setiap episod persembahan membuatkannya dinobat sebagai penerima Anugerah Mahabbah.

Hadiah kemenangan berupa wang tunai RM3,000 akan disumbangkan kepada badan kebajikan.

Iklan

Persembahan kesemua bintang diadili oleh juri tetap Fauzi Marzuki, Ustaz Isman Hijjaz pula menggantikan Hazamin Inteam yang sedang mengerjakan umrah dan Prof. Madya Datuk Mohd Farid Ravi pula hadir sebagai pendakwah jemputan.

Hijrahkan Laguku bersiaran pada setiap Sabtu, jam 9 malam. Rancangan ini mendapat tajaan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Hotel Premiera Kuala Lumpur pula adalah penaja penginapan rasmi.

Iklan

Siaran ulangan Hijrahkan Laguku boleh ditonton di TV AlHijrah pada setiap Ahad, jam 4.30 petang. Manakala rancangan Hijrah Prihatin bersama artis program ini pula disiarkan setiap Sabtu dan Ahad, jam 1 tengah hari.

Klip sedutan sesi latihan vokal, persiapan persembahan dan trivia para peserta boleh ditonton melalui liputan kapsul yang disiarkan setiap hari, jam 7.55 malam.