TAWARAN kerja dibatalkan pada saat akhir, nama ditukar dengan selebriti lain dan ‘dipulaukan’ daripada industri, begitu antara nasib yang dilalui oleh pelawak, Ali Puteh.

Bukan mahu meraih simpati, Ali juga mendedahkan, hanya menerima bayaran RM300 dalam tempoh dua tahun selepas Covid-19 melanda Malaysia.

“Kalau setakat program Muzikal Lawak Superstar dan Maharaja Lawak Mega Astro itu lain sebab komuniti pelawak kecil. Tapi, untuk tawaran lain seperti lakonan, pengacaraan dan sebagainya, memang tak ada langsung.

“Ada yang pada awalnya sudah ‘lock’ saya tetapi kemudian maklumkan terpaksa batalkan tawaran itu. Ada juga tawaran tersebut dibatalkan dan diganti dengan orang lain.

“Adalah sekali saya diperlukan untuk program secara atas talian, di mana saya membaca beberapa potong ayat al-Quran dan diberi bayaran RM300,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran program Awesome TV pada Rabu.

ALI PUTEH
Ali menggunakan segala wang simpanan yang ada untuk menanggung keluarga termasuk arwah ibunya, Sabariah Arshad yang sakit sebelum menghembuskan nafas terakhir pada Oktober 2021.

Tambah Ali atau nama penuhnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, sepanjang ketiadaan kerja, dia hanya menggunakan wang simpanan untuk menanggung isteri dan anak serta menguruskan arwah ibunya yang ketika itu kurang sihat.

Dalam masa sama, adik kepada Allahyarham Abam Bocey itu bersyukur apabila kerajaan membenarkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru-baru ini.

“Saya bersyukur sebab sebelum ini tidak pernah berbelanja melebihi kemampuan. Jadi saya gunakan wang simpanan yang ada untuk menampung perbelanjaan keluarga.

“Bila kerajaan umumkan boleh keluar wang KWSP secara one-off, saya terus mohon. Duit itu saya gunakan untuk jadikan modal berniaga dan selebihnya saya simpan untuk anak-anak jika ada kecemasan nanti,” katanya yang pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan sebelum menceburi bidang seni.

Namun di sebalik segala dugaan yang datang, Ali bersyukur apabila mula menerima tawaran berlakon dan bakal muncul dalam sitkom Lot 69 untuk tayangan saluran Awesome TV bermula 11 Jun ini.

Selain itu, dia juga bakal menjadi sebahagian daripada juri program Awesome Raja Lawak yang akan memulakan pencarian di Kuantan pada Sabtu ini.

Sedia membantu

Sementara itu, ditanya mengenai hubungannya dengan balu Abam, Siti Nor Hidayah Mohd. Ali, mereka belum bertemu selepas keputusan mahkamah diperolehi baru-baru ini.

Bagaimanapun bersedia untuk bersemuka dan membantu Hidayah menyelesaikan urusan faraid yang masih tertangguh.

“Sebelum ini ada sebuah stesen TV yang mahu temukan kami, tetapi bagi saya jika mahu berdamai tidak perlulah diberitahu kepada khalayak.

“Kalau dia nak datang untuk selesaikan urusan faraid pun saya sedia membantu sebab dia masih perlu berjumpa ayah untuk dapatkan tanda tangan dan sebagainya.

“Apa yang berlaku dalam pertemuan itu nanti, biarlah antara kami sahaja,” jelasnya.

Sebelum ini, nama Ali dan Hidayah menjadi perhatian ramai selepas beberapa episod pertelingkahan mengenai pengurusan faraid harta arwah Abam yang meninggal dunia pada 10 Februari 2020 akibat demam panas.

Pada Mei tahun sama, Hidayah memfailkan saman fitnah berhubung kenyataan adik iparnya dalam akaun Instagram yang antara lain menggambarkan dia sebagai seorang yang tidak bertanggungjawab.

Kes berkenaan menemui titik noktah apabila, mahkamah pada Februari lalu memutuskan Hidayah menang kes tersebut dan Ali dituntut untuk membayar ganti rugi sebanyak RM60,000.

Artikel Menarik