AKTRES dan pengarah berkaliber, Ellie Suriati Omar mengakui sudah mengambil vaksin Covid-19 jenis Sinovac pada Oktober dan November tahun lalu.

Biarpun lantang bersuara mengenai isu vaksin sebelum ini, Ellie, 51, mengubah keputusannya sebagai tanda menghormati suami, Azri Iskandar.

“Saya bukan seorang antivaksin. Kalau tidak, saya tidak ambil vaksin lain sebelum ini. Cuma saya ada pandangan mengenai vaksin Covid-19.

“Ya, saya sudah mengambil vaksin, saya ambil vaksin kerana suami. Dia kata, sudah tiba masanya dia sebagai ketua keluarga, suami dan bapa bersuara mengenai perkara ini serta meminta kami (Ellie dan anak-anak) mengikutinya.

“Jadi sebagai tanda hormat, saya dan anak mengambil vaksin jenis Sinovac dos pertama pada Oktober lalu dan diikuti dos kedua pada November,” jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Telaga Suriram di The Majapahit Arcoris Mont Kiara.

Ellie yang bertindak selaku jurulatih lakonan dalam filem arahan Osman Ali itu mengakui antara sebab lain beliau mengambil vaksin adalah kerana tuntutan kerjanya.

“Azri tahu saya sayangkan industri seni. Dia tahu betapa sedihnya saya jika tidak dapat bekerja dalam dunia seni, “ jelasnya.

Iklan

Sementara itu, mengulas tawaran kerja diberikan Osman, Ellie berkata ia kerjasamanya yang kelima bersama pengarah tersebut.

“Sebelum ini, saya pernah jadi jurulatih lakonan untuk filem Ombak Rindu, Pilot Cafe, Kau Yang Satu dan Langsuir.

Iklan

“Saya baru saja balik dari Sarawak jadi ‘acting coach‘ untuk teater Puteri Santubong. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan kini saya memberikan fokus untuk filem Telaga Suriram.

“Saya teruja kerana ramai pelakon filem ni merupakan pelakon yang pernah memenangi anugerah terbaik,” katanya.