MESKIPUN membesar pada era muzik berbeza, penyanyi Afieq Shazwan mengakui sangat meminati lagu-lagu berentak balada era 1990an.

Pemilik nama sebenar Muhammad Shafieq Shazwan Zamros, 24, berkata, dia tidak menyangka percubaan pertama tampil dengan rakaman semula lagu era tersebut, Malam Semakin Dingin (duet bersama Tajul) sebelum ini berjaya meraih perhatian ramai.

Lagu nyanyian asal Allahyarham Achik Spin itu menjadi tular dan meraih 15 juta tontonan di YouTube rasmi FMC Music setelah dilancarkan dua bulan lalu.

Memenuhi permintaan peminat, Afieq sekali lagi mengetengahkan irama tersebut menerusi lagu rakaman semula, Layu Di Hujung Mekar yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Rio.

“Alhamdulillah saya bersyukur percubaan menyanyikan kembali lagu-lagu berhantu era itu mendapat sambutan dan sokongan daripada pencinta muzik tanah air.

“Saya sangat gembira kerana selain meminati lagu-lagu ini, ia juga dapat menonjolkan kelainan dan menguji kemampuan vokal menyanyikan lagu balada bernada tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Afieq yang sebelum ini tampil dengan single bergenre reggaeton dan pop Latin terkejut apabila Layu Di Hujung Mekar versi baharu itu mendapat sambutan hangat sehingga berjaya meraih tiga juta tontonan sejak dilancarkan sebulan lalu.

“Asalnya saya nyanyikan lagu ini secara suka-suka sahaja. Saya rakam dan siarkan di Instagram (IG).

“Tak sangka pula maklum balas daripada pengikut IG dan peminat sangat positif. Ramai yang minta saya buat lagi lagu-lagu cover era 1990an ini.

“Lagu nyanyian asal kumpulan Rio ini kebetulannya merupakan karya terbitan syarikat rakaman saya, FMC Music. Jadi bila berbincang dengan pihak pengurusan, kami sepakat untuk rakam semula lagu ini,” ujarnya.

Sambutan luar biasa

Iklan

Menurut Afieq, selepas melihat sambutan hangat terhadap lagu-lagu rakaman semula era tersebut, dia yakin masih ramai yang meminati genre sebegitu.

“Setelah melihat sendiri impak lagu Malam Semakin Dingin dan Layu Di Hujung Mekar, saya yakin dan percaya bahawa sebenarnya selera pendengar dan penggemar muzik di Malaysia masih lagi sukakan irama sebegini.

“Buktinya apabila lagu ini dilancarkan, ramai yang DM (direct message) kepada saya untuk bagi sokongan dan mengakui lagu-lagu itu sedap didengar serta malar segar.

“Mereka mahu lebih banyak lagi lagu daripada genre ini ditampilkan. Kalau kita pergi ke pusat karaoke, kebanyakan mereka yang berkunjung ke situ juga akan memilih lagu-lagu tersebut untuk dinyanyikan,” katanya.

Iklan

Membuka lembaran baharu tahun 2022, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Lelaki Di Telefon itu mengharapkan sokongan terus diberikan kepadanya untuk mengembangkan bakat seni yang dimiliki.

“Saya ingin berterima kasih kepada FMC Music kerana percayakan bakat saya. Terima kasih juga kepada semua yang menyokong kerjaya nyanyian saya selama ini.

“Doakan semoga saya terus sukses dalam melebarkan kerjaya pada masa akan datang,” katanya.

(FOTO: FMC Music)