SETELAH hampir seminggu berdiam diri, kumpulan Dolla akhirnya tampil membuat permohonan maaf susulan imej seksi mereka yang mengundang kecaman ramai ketika menjayakan persembahan di pentas Good Vibes Weekender, Ahad lalu.

“Kami Dolla ingin memohon maaf kepada semua pihak atas apa yang berlaku,” ujar Dolla ketika Majlis Sidang Media Single Duet Mungkin Ini Adalah Lagu Yang Paling Sedih Pernah Kubuat di Auditorium Symphony Square, Petaling Jaya, pada Jumaat.

Sabronzo yang mewakil Dolla berkata, pada ketika itu mereka terlalu memberi tumpuan kepada persiapan untuk melakukan persembahan sehingga terlepas pandang soal pemilihan pakaian.

“Itu pertama kali kami dijemput untuk acara berkenaan. Mungkin terlalu fokus kepada persembahan membuatkan kami terlepas pandang hal lain termasuk pakaian.

“Selepas ini kami akan lebih berhati-hati dalam pemilihan persalinan yang akan dipakai,” katanya.

Penampilan berani Dolla pada acara tersebut mengundang kecaman warga maya.

Pada acara yang turut disertai artis luar negara itu, Dolla yang dianggotai oleh Sabronzo, Tabby, Angel dan Syasya tampil dengan pakaian mencolok mata, malah dikatakan lebih seksi daripada penyanyi Kpop, CL (2NE1) yang turut menjayakan persembahan di pentas sama.

Penampilan tersebut dikritik hebat warganet yang menyuarakan rasa kurang senang mereka dengan penampilan berani Dolla yang dianggap agak berlebihan dan tidak sesuai digayakan artis tempatan.

(FOTO: INSTAGRAM DOLLA)