SENTIASA percaya pada diri, penyanyi dalam pelakon Izzue Islam mengakui terbuka untuk menyahut cabaran dan mencari kelainan dalam kerjaya seni.

Jika sebelum ini, nama anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu begitu sinonim dengan bidang nyanyian dan lakonan, kini dia membuka langkah baharu menceburi dunia pengacaraan.

Izzue atau nama lengkapnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 32, kini bergelar hos program I Can See Your Voice Malaysia musim kelima (ICSYVMY5) yang kini sedang hangat bersiaran di TV3, setiap Ahad, jam 9 malam.

Berkongsi penglibatannya dalam program kegemaran ramai itu, Izzue berkata, ia berlaku secara kebetulan apabila dipanggil untuk menggantikan pengacara asal, Sean Lee.

“Penglibatan saya sebagai hos untuk program ini boleh diumpamakan sebagai ‘bidan terjun’ kerana tawaran datang secara mengejut bagi menggantikan Sean Lee yang kurang sihat ketika itu.

“Saya terus bersetuju kerana diberitahu untuk buat satu episod sahaja dan kebetulan pada tarikh yang diminta itu saya memang ada kelapangan. Bagaimanapun akhirnya diberi kepercayaan untuk menjayakan keseluruhan program.

“Tentulah saya tidak akan melepaskan peluang keemasan dan bersyukur dapat terlibat dalam program kegemaran ramai ini. Mujur juga produksi drama yang saya terlibat ketika itu memahami dan bersetuju menganjak jadual penggambaran untuk membolehkan saya terlibat dalam ICSYVMY5,” ujarnya.

Menepis tanggapan dia telah ‘mencaras’ kedudukan Sean Lee sebagai pengacara tetap program tersebut, Izzue berkata, perkara tersebut tidak timbul kerana ia adalah permintaan produksi.

“Tidak timbul soal ‘caras’ kerana mereka yang terlibat tahu saya diminta menggantikan Sean kerana dia ditimpa musibah ketika itu. Hubungan kami pun baik, malah dia juga ada membantu dan memberikan tip kepada saya dalam mengendalikan program tersebut.

“Mungkin inilah yang dikatakan rezeki. Saya terima dengan hati yang terbuka dan melihat ia sebagai peluang untuk mengembangkan bakat dalam bidang pengacaraan pula.

Iklan

“Saya harap peminat dapat memberikan sokongan dan dalam masa sama, akan cuba memperbaiki segala kelemahan yang ada dan menjadi menjadi lebih baik jika diberikan peluang lain pada masa akan datang,” katanya yang digandingkan bersama Ain Edruce.

Susun jadual

Dalam pada itu, bekas anggota kumpulan Forteen itu berkata, penglibatannya dalam bidang pengacaraan tidak akan mengurangkan tumpuan dalam bidang lakonan dan nyanyian.

Sebaliknya jadual kerjanya masih berjalan seperti biasa dan akan diuruskan sebaik mungkin bagi memastikan semuanya berjalan seiring.

Iklan

“Saya masih lagi berlakon dan menyanyi seperti biasa, cuma sejak dua tahun kebelakangan ini kurang mengambil watak utama untuk mengelakkan jadual kerja menjadi terlalu padat.

“Saya kena uruskan jadual dengan betul kerana tidak hanya mahu memberi tumpuan kepada bidang lakonan semata-mata tetapi juga dalam bidang nyanyian dan terbaru pengacaraan,” katanya yang kini semakin rancak menerima tawaran sebagai hos.

(FOTO: Instagram Izzue Islam)