SELEPAS setahun tidak muncul dengan single baharu, penyanyi bersuara lunak, Jaclyn Victor kembali dengan buah tangan istimewa buat peminat.

Single berjudul Kembalilah ditujukan khas buat peminat setia yang sentiasa memberi sokongan sepanjang 20 tahun penyanyi itu berkecimpung dalam bidang seni.

Lagu tersebut juga sangat istimewa buat penyanyi berusia 44 tahun itu kerana telah ‘dilamar’ oleh komposer dan penulis lirik kreatif dari New York iaitu Gerald Sellan serta Adrian Puan.

“Pada mulanya, saya memang terkejut apabila Gerald dan Adrian menghubungi saya. Mereka beritahu hasrat untuk saya nyanyikan lagu ini.

“Kedua-duanya berada di New York. Jadi, saya pun terbang ke sana untuk merealisasikan impian mereka dan juga diri saya sendiri.

“Semasa proses pembikinan di dalam studio dan menghafal lirik, saya terus jatuh cinta dengan lagu ini. Setiap bait lirik lagu mempunyai makna yang sangat mendalam,” ujar juara Gegar Vaganza musim kesembilan itu.

Iklan

Tambah Jaclyn, lagu Kembalilah mempunyai mesej yang kuat iaitu menyentuh tentang iman, harapan, cinta abadi dan peluang kedua.

“Melodi lagu ini sememangnya mendayu dan penuh bermakna. Bayangkan betapa terujanya saya dapat menyanyikan lagu ini kerana pembikinan lagu sahaja mengambil masa lebih 10 tahun.

Iklan

“Ini yang dinamakan ‘peluang kedua’. Walaupun mengambil masa yang lama tetapi ia pasti datang dan jangan sesekali putus asa,” katanya.

Lagu genre pop ballad edaran Believe itu telah dilancarkan di semua platform digital serentak pada 26 Mei lalu, sementara lirik muzik video Kembalilah sudah boleh ditonton di saluran YouTube Jaclyn Victor.