PROGRAM nyanyian kegemaran ramai, Gegar Vaganza (GV) kini kembali dengan musim kesembilan dengan menampilkan gabungan penyanyi berpengalaman daripada pelbagai genre muzik sebagai peserta.

Musim baharu ini bakal mencuri perhatian ramai apabila membariskan bintang-bintang yang pernah bergelar juara beberapa pertandingan realiti, malah cukup dikenali menerusi kekuatan vokal dimiliki.

GV9 akan menyaksikan persaingan sengit 13 peserta yang terdiri daripada Jaclyn Victor, Dina Nadzir, Shila Amzah, Haida Hasnan, Pat Candy dan Tom (My Starz LG).

Diikuti Tomok, Bob Yusof, Asheed, Roy Kapilla, Hazrul Nizam dan penyanyi dari Singapura, Fuad Rahman. Tidak ketinggalan kumpulan VE yang terdiri daripada Zaf, Cham, Adeeb serta Hakim.

Jaclyn Viktor, 43, ketika mengulas mengenai penyertaannya dalam GV9 berkata, dia mahu menggunakan pentas tersebut untuk mencari pengalaman baharu.

“Sebenarnya ramai yang mencadangkan dan berharap saya menyertai GV, tetapi saya pada awalnya langsung tidak terfikir untuk berbuat demikian.

“Bagaimanapun selepas dijelaskan tentang konsep baharu program ini yang memberi peluang kepada artis tidak kira yang masih aktif atau tidak untuk berkarya mengikut kemahuan mereka, barulah saya sedia pertimbangkan.

“Selepas beberapa bulan dipujuk, akhirnya saya bersetuju untuk mengambil peluang ini dan menyahut cabaran dalam GV9,” katanya ketika sidang media pengumuman 13 peserta GV9 di Menara Kuala Lumpur pada Selasa.

Edisi kali ini masih mengekalkan formal asal penjurian yang diadili berdasarkan sistem pemarkahan 100 peratus daripada barisan juri profesional.

Iklan

Gandingan juri musim lalu yang terdiri daripada Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat dan penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang sekali lagi diberi kepercayaan untuk menggalas tugas tersebut.

Sementara itu, Nabil Ahmad bakal bergandingan dengan Elly Mazlein selaku pengacara baharu menggantikan Jihan Muse.

Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, berkata, kombinasi yang ditampilkan kali ini menerapkan elemen diversiti atau kepelbagaian dalam representasi genre muzik tanah air.

Iklan

“Kami mempunyai penyanyi-penyanyi hebat tanah air yang sudah merangkul pelbagai anugerah. Ternyata GV9 mampu menarik penyertaan bintang-bintang besar yang bersinar hebat, lantas menujukkan betapa relevannya rancangan ini bukan sahaja untuk para peminat tetapi artis-artis yang ada.

“GV masih menjadi platform untuk barisan penyanyi mengukir nama mereka semula dalam bidang nyanyian,” katanya.

Konsert mingguan GV9 akan dipancarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan bersiaran di saluran Astro Ria, pada setiap Ahad, jam 9 malam, selama 10 minggu bermula 18 September ini.