BIARPUN masih hijau dalam industri, bakat baharu Syazani Zikry mempunyai misi yang jelas dalam kerjaya seninya.

Bukan hanya memberi tumpuan kepada bidang lakonan, tetapi anak muda berjiwa besar ini juga mahu mengembangkan bakatnya dalam kerja-kerja belakang tabir melibatkan bidang penerbitan.

Percaya dengan kemampuan diri, Zikry mahu meneroka lebih jauh industri seni tanah air yang diyakini mampu berkembang pesat pada masa akan datang.

“Bukan sahaja dalam lakonan, tetapi minat saya juga terarah kepada kerja belakang tabir terutamanya dalam bidang penerbitan yang saya percaya mampu memberi lebih cabaran pada saya.

“Saya juga mengikuti rapat perkembangan kerjaya aktor terkenal iaitu Bront Palarae dan cukup terinspirasi dengan kebolehan dan pencapaiannya. Dia bukan sahaja hebat berlakon, tetapi juga aktif sebagai sebagai penerbit dan penulis layar.

“Saya melihat bagaimana Bront berjaya melestarikan kerjaya dengan cemerlang sehingga ke hari ini,” ujarnya yang pernah membintangi filem Kabus yang disiarkan di Astro First.

Menang

Tidak sekadar bual kosong, Zikri, 25, pernah menghasilkan filem pendek berjudul Can You Love Me Most? hasil daripada Dana Kandungan Digital yang diperuntukan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Lebih membanggakan, filem terbitannya itu berjaya diangkat sebagai Filem Pendek Terbaik di Anugerah Festival Filem Malaysia ke-32, selain turut ditayangkan di Festival Filem Yogjakarta pada tahun 2021.

Zikry terinspirasi dengan kejayaan Bront.

Berbekal kejayaan tersebut, anak jati Selangor itu semakin bersemangat untuk mengatur langkah seterusnya, baik dalam lakonan mahupun dalam bidang penerbitan.

Iklan

“Bagi saya kepuasan berlakon atau menghasilkan sesuatu naskhah itu dapat dirasai apabila penonton memberikan respons yang positif dan dapat menerima baik apa yang dipertontonkan.

“Selain itu, saya cuba memahami bagaimana rasanya menjadi orang lain dan merasai pengalaman hidup mereka untuk dikongsi kepada umum,” katanya yang juga aktif sebagai pengacara.

Iklan

Terdahulu sebelum ini Zikry pernah tampil dalam filem Ceroboh yang disiarkan di platform Netflix dan Bilik Tepi (Viu). Sementara empat filem lakonannya iaitu TetiberUtuber, Angkat, Seledangs & Shotguns dan Send Tudes bakal menemui peminat tidak lama lagi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi