PENYANYI popular, Datin Alyah mengakui menjalani pembedahan bariatrik pada 21 Mac lalu bagi merawat masalah gastrik serius yang dihadapinya sejak sekian lama.

Menurut Alyah atau nama penuhnya Noor Hasliah Abu Hasan, akibat masalah itu, beliau mengalami penambahan berat badan sebanyak 18 kilogram (kg) dan sekali gus menyukarkan urusan hariannya.

“Bila ada masalah gastrik, saya sentiasa makan tidak tentu masa. Bila berat badan naik, saya rasa sukar untuk bergerak, solat dan tidak selesa ketika menyanyi.

“Menerusi pertemuan dengan pakar bariatrik, Dr Mustafa Mohammed Taher, beliau mencadangkan saya menjalani pembedahan bariatrik.

“Pembedahan itu bukan sahaja mengatasi masalah gastrik, tetapi juga mengurangkan risiko saya mengalami masalah kesihatan lain seperti kencing manis, darah tinggi atau kolestrol pada masa akan datang,” katanya kepada SinarPlus.

Ditebak dengan telahan segelintir pihak yang mungkin melihat Alyah menjalani pembedahan ini untuk kecantikan semata-mata, isteri kepada maestro muzik, Datuk Ramli MS itu menafikannya.

“Pertamanya, saya buat ini memang untuk kesihatan, bukan untuk kecantikan. Cuma bila kita sihat, secara automatik kita akan cantik, bukan sahaja luaran, tetapi juga dalaman.

Iklan

“Saya juga menjalinkan kerjasama dengan Dr Mustafa untuk mendidik dan menjelaskan kepada umum bahawa pembedahan bariatrik ini bukan dibuat kerana kecantikan semata-mata,” ujarnya yang mendapat tajaan 100 peratus daripada Dr Mustafa untuk rawatan ini.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Alyah Abu Hasan (@alyah81)

Iklan

Buah tangan baru

Sementara itu, berkongsi perihal kerjaya seninya, Alyah berkata, setelah sekian lama menyepi, beliau kini sedang berusaha untuk menyiapkan material terbaharu bagi mengubati kerinduan peminat.

Mengakui seorang yang cerewet dalam berkarya, penyanyi yang mula hits dengan lagu Tak Mungkin Kerna Sayang itu memberi bayangan bakal merakamkan beberapa buah lagu sekali gus dalam masa terdekat ini.

“Walaupun baru sahaja tampil dengan single Thank You Allah tahun lalu, tetapi saya rasa seperti sudah lama ‘tidur‘.

“Sekarang saya sedang berusaha mencari material bersesuaian dan disebabkan keadaan semasa, saya merancang untuk rakam dua hingga tiga buah lagu terus dan masih mengekalkan genre balada.

“Cuma bila dah lama tak keluar lagu, ramai yang menanti dan secara tidak langsung buat saya rasa takut serta lebih berhati-hati untuk tampil dengan lagu baharu.

“Pada masa sama, saya juga tak sabar untuk keluar dan mempromosikan lagu saya seperti dahulu. Semoga tahun 2022 menjadi tahun yang lebih baik untuk kerjaya dan kesihatan saya,“ katanya yang tidak menolak untuk mengadakan showcase atau konsert suatu hari nanti.