BIARPUN sudah bebas sepenuhnya daripada virus Covid-19 yang dijangkiti pada Disember tahun lalu, penyanyi dan pelakon, Mark Adam mengakui masih trauma dengan apa yang dilalui.

Apatah lagi Mark atau nama lengkapnya Fikri Mark Adam Abdullah, 43, mengalami masalah pernafasan sehingga menjejaskan lontaran vokalnya akibat daripada jangkitan tersebut.

Kesukaran itu jelas terbukti ketika penyanyi asal Filipina itu bersaing di pentas akhir program Hijrahkan Laguku yang berlangsung pada Sabtu lalu apabila vokalnya tidak berada pada tahap yang memuaskan.

“Selepas dijangkiti Covid-19, saya ada mengalami masalah pernafasan ketika menyanyi. Memang sedikit berbeza berbanding sebelum ini dan ia agak mengganggu.

“Sebagai penyanyi memang saya sangat risau jika keadaan itu berterusan. Jadi saya meminta pandangan daripada rakan-rakan dalam bidang perubatan mengenai langkah yang perlu saya lakukan.

“Kini setiap hari saya mengamalkan senaman untuk menguatkan paru-paru dalam tempoh masa lima minit untuk mengatasi masalah itu,” katanya.

Berkongsi tentang keadaan dirinya ketika dijangkiti virus berbahaya itu, penyanyi lagu Marry Me itu berkata, dia mengalami demam ringan dan kehilangan deria rasa dan bau.

“Alhamdulillah saya isteri, Norazah Redzuan kini sudah bebas sepenuhnya daripada Covid-19. Apa yang boleh saya katakan kita semua perlu sentiasa berjaga-jaga kerana saya sendiri tidak tahu dijangkiti dari mana.

“Pengalaman bergelar pesakit Covid-19 sangat menakutkan. Perasaannya lain macam kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku selepas itu.

“Satu perkara yang buat saya trauma ialah setiap kali menggunakan alat pengukur kadar oksigen iaitu oximeter. Saya rasa paranoid dan fikir macam-macam kerana bimbang jika berlaku perkara yang tidak diingini.

“Mujur ada isteri yang sentiasa memberikan semangat. Kami saling menjaga kerana dia juga dijangkiti virus sama. Cuma isteri tidak mempunyai gejala sebagaimana saya,” akuinya.

Mahu mendalami agama

Dalam perkembangan lain, Mark yang turut aktif dalam bidang lakonan mengakui mahu mendalami agama dalam usahanya menjadi insan lebih baik.

Iklan

Apatah lagi penglibatan dalam program realiti terbitan TV AlHijrah, Hijrahkan Laguku yang mengangkat lagu-lagu berkonsepkan dakwah baru-baru ini banyak memberi pendedahan dan pengalaman baharu kepadanya.

“Selepas menyertai program ini, keinginan saya untuk mendalami ilmu agama semakin bertambah.

“Bukan bermaksud selepas ini saya akan beralih kepada lagu-lagu dakwah, cuma saya mahu lebih mendekati agama,” tegasnya.

Menyentuh perancangan kerjaya seninya selepas ini, Mark mengakui sejak akhir-akhir ini banyak menerima tawaran berlakon berbanding nyanyian.

Iklan

“Dalam soal mencari rezeki, saya tidak memilih sebaliknya menerima apa sahaja tawaran yang datang dahulu.

“Kebetulan sejak tahun lalu, saya dapat banyak tawaran berlakon. Saya bersyukur dengan apa pun rezeki yang datang,” katanya.

(FOTO: Instagram Mark Adam)