KONSERT Jelajah 90 Suria Memang Cantik Kak Ell meneruskan kemeriahannya pada siri terakhir yang bakal berlangsung di IOI City Mall, Putrajaya, pada Sabtu ini.

Acara yang bermula seawal jam 1 tengah hari itu akan menampilkan persembahan lebih 18 artis popular tanah air. Antaranya ialah Ziana Zain, Dayang Nurfaizah, Muss, Amir Uk’s, Floor 88, Wany Hasrita, Haqiem Rusli, Iman Troye, dan Amir Masdi.

Tidak ketinggalan Imsoniacks, Nuha Bahrin, Naufal Azrin, Farah Rose, kumpulan Juita, Encem Bois, Syeera Aziz, Aiman Zaidi, Hakim Khan, Farra Ahmad, Adzrin, Ahmad Syafiq dan Wawa.

Menurut Pengurus Besar Suria FM, Cik Roslinda Abd Majid atau DJ Lin, selain persembahan artis, pelbagai aktiviti menarik juga disediakan untuk pengunjung yang hadir.

“Semua dijemput hadir kerana banyak kejutan yang menanti di lokasi terakhir Jelajah 90 Suria Memang Cantik Kak Ell pada Sabtu ini.

“Selain menikmati persembahan artis popular, pengunjung turut berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah seperti motosikal Modenas MR 3, basikal lipat Dahon Dream 6, barangan elektrik juga pakej percutian.

“Caranya dengan membeli Barangan Eksklusif Suria yang dijual di Booth Kedai Suria sepanjang konsert berlangsung dengan minima pembelian RM50. Pengunjung juga berpeluang memenangi wang tunai dengan menyertai cabutan bertuah bersama Kak Ell dan aktiviti Soal Jawab bersama Celcom. Juga sesi istimewa bersama Gintell,” ujarnya.

Kemeriahan Konsert Jelajah Suria di Paradigm Mall, Johor Bahru pada minggu lalu.

Pada 20 Ogos lalu, turut berlangsung Konsert Jelajah 90 Suria Memang Cantik Kak Ell di Paradigm Mall, Johor Bahru yang juga merupakan lokasi ketiga acara selepas Kuantan City Mall, Kuantan pada 6 Ogos dan Aman Central, Alor Setar (13 Ogos).

Acara tersebut berlangsung meriah dengan menyaksikan lebih 8,00 pengunjung yang datang dari seluruh pelusuk negeri Johor, malahan turut menarik perhatian peminat setia Suria FM dari Singapura, Melaka, Negeri Sembilan juga Kuala Lumpur.

Iklan

Antara artis yang membuat persembahan pada konsert tersebut ialah Zamani, Siti Nordiana, Renggo Arrow, Floor 88, Nabila Razali, Wan Lestary, Fieya Julia, Dolla, Yonnyboii, Boboy, Farra Ahmad, Hakim Khan, Aiman Zaidi, Syafiq dan Wawa.

Sambutan peminat setia Suria FM di Selatan adalah yang paling hebat dan paling ramai pernah dicatatkan sejak penganjuran siri Jelajah Suria. Malah jualan barangan eksklusif Suria di booth Kedai Suria juga berjaya mengutip hampir RM20,000 sementara jumlah tontonan di platform digital Suria (YouTube Suria TV, Facebook Suria FM dan Aplikasi Suria Malaysia) pula mencatatkan lebih 150,000 tontonan sepanjang acara berlangsung.

Tambah DJ Lin, kejayaan itu telah mencetuskan inspirasi Suria FM agar terus berusaha memberikan yang terbaik buat pendengar setia mereka.

Iklan

“Misi terdekat kami adalah untuk meletakkan Suria FM tersenarai di antara tiga stesen radio bahasa Melayu paling popular dan paling ramai khalayak pendengarnya, apatah lagi tahun ini menyaksikan Suria FM bakal menyambut Ulang tahun Ke-15 penubuhannya pada tanggal 24 November 2022.

“Mohon doa semua moga impian dan hasrat kami menjadi nyata dan moga ALLAH SWT permudahkan segalanya,” katanya.

(FOTO: SURIA FM)