LEBIH tahun dua pandemik Covid-19 melanda, pelbagai suka duka dilalui semua peringkat masyarakat yang berjuang untuk bertahan dan meneruskan kehidupan masing-masing.

Tidak terkecuali perjuangan dan pengorbanan petugas barisan hadapan yang memikul tanggungjawab besar melawan musuh yang tidak dapat dilihat demi memastikan keselamatan orang ramai meski berdepan risiko terhadap diri sendiri.

Merakam cerita yang diinspirasikan daripada kejadian sebenar pernah berlaku dalam tempoh tersebut, filem Juang tampil dengan lima kisah berbeza, namun membawa perjuangan sama melibatkan barisan petugas hadapan seperti doktor, jururawat, polis, penghantar makanan dan kru penerbangan.

Menariknya, filem terbitan Asia Tropical Films, The Film Engine dan Astro Shaw itu menampilkan gabungan lima pengarah tersohor tanah air iaitu Matt Lai, Aziz M. Osman, Yusry Abd Halim, Kabir Bhatia dan Osman Ali.

Meski tampil dengan kreativiti dan pendekatan berbeza, namun kelima-lima pengarah hebat ini berjaya menjadikan Juang sebuah filem yang sangat ‘hidup’ dan dekat dengan hati penonton.

Malah setiap babak yang ditampilkan dalam kisah-kisah tersebut begitu memberikan impak, sekali gus berjaya membawa penonton menyelami keperitan yang dilalui mereka yang terlibat ketika mengharungi pandemik ketika itu.

Banyak babak emosi yang meruntun hati penonton, sehingga ada yang tidak mampu menahan air mata. Bukan hanya kepada mereka yang pernah berdepan situasi kehilangan orang tersayang disebabkan Covid-19, tetapi juga boleh rasai oleh sesiapa sahaja yang menonton.

Antara yang turut menarik perhatian adalah babak penerbangan membawa 113 warganegara Malaysia terkandas di Wuhan, China ketika awal pandemik melanda.
Pujian harus diberikan kepada barisan pelakon yang rata-ratanya memberikan persembahan terbaik mereka. Zizan Razak, Sangeeta Krishnasamy, malah Janna Nick tampil dengan lakonan yang cukup berkesan.

Begitu juga dengan cameo beberapa pelakon yang tidak hanya hadir ‘kosong’, sebaliknya mengisi peranan dengan baik dan menyumbang kepada perjalanan cerita.

Iklan

Mesej keluarga Malaysia yang dibawa dalam naskhah ini juga nampak realistik dan tidak dibuat-buat. Sederhana, namun memberi makna yang begitu besar kepada konsep kekitaan yang menjadi pegangan rakyat Malaysia yang hidup berbilang kaum ini.

Juang turut diserikan dengan lagu tema, Wira Hatiku dendangan Datuk Sheila Majid bersama iringan muzik Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO), selain lagu berjudul Sama Sama yang dinyanyikan oleh Datuk Sri Siti Nurhaliza.

Iklan

Secara keseluruhannya, Juang yang menelan belanja pembikinan sebanyak RM6 juta itu adalah naskhah yang tidak harus dilepaskan dan berbaloi untuk tontonan.

Juang
Bahasa: Melayu
Klasifikasi: P13
Genre: Drama
Durasi: 2 jam
Pengarah: Matt Lai, Aziz M. Osman, Yusry Abd Halim, Kabir Bhatia dan Osman Ali
Pelakon: Zizan Razak, Zul Ariffin, Sangeeta Krishnasamy, Jack Lim, Janna Nick, Izzue Islam, Vanida Imran, Chew Kin Wah, Adibah Noor
Tarikh Tayangan: 8 September 2022
Terbitan: Asia Tropical Films, The Film Engine, Astro Shaw