BELUM pun ditayangkan di Malaysia, filem Eva sudah melakar kejayaan sulungnya di Festival Filem Cannes apabila dinobatkan pemenang untuk kategori thriller dan suspen.

Pengarahnya, Suhaiza Aziz meluahkan rasa syukur apabila Eva mendapat perhatian juri antarabangsa dan dipilih sebagai pemenang pada Julai lalu bersaing dengan dua lagi filem iaitu Deadline (dari Emiriah Arab Bersatu) dan filem Ivy (dari Jerman).

FILEM EVA
Suhaiza (gambar kanan) bersaing dengan dua lagi filem dari UAE dan Jerman.

“Saya tidak menyangka sama sekali filem Eva akan menang kerana mendapat saingan yang bukan calang-calang daripada filem terbitan Emiriah Arab Bersatu dan Jerman.

“Apabila tiba-tiba produser, Diyana Ismail, tunjuk poster yang Eva tercalon, kami semua terkejut.

“Tak sangka kami boleh ‘terbang’  sejauh ini. Tambahan lagi, ini adalah karya pertama saya sebagai pengarah. Walaupun baru tercalon, apabila kami nampak nama Malaysia, bangganya rasa,” kata Suhaiza.

Dengan kemenangan itu, Eva akan ditayang di Festival Filem Cannes 2023 dan turut dicalonkan untuk merebut anugerah Filem Terbaik Kategori Thriller dan Suspen.

Eva adalah filem terbitan D Alpha Legacy Sdn Bhd (M), dengan membariskan pelakon utamanya iaitu Nadia Aqila , Nadia Brian dan Shamsul Danish.

Selain itu, Eva turut dibintangi Datuk Jalaludin Hassan, Tony Eusoff, Hasnol Rahmat, Sheera Iskandar, Jay Iswazir, Azrel Ismail, Zain Ruffedge, Isma Daniel, Aleeza Kassim, Marissa Yasmin, Gya Natasya, Shazia Ruzaini, Mimi Ernida, Norman Hakim dan Fatimah Azzahra.

FILEM EVA
Antara pelakon yang membintangi Eva.

Filem itu yang siap penggambaran pada Februari lalu, sedang menunggu tarikh wajib tayang daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk ditayangkan di pawagam di seluruh negara.

Suhaiza turut meluahkan rasa gembira dengan kemenangan itu dan mendedikasikan kejayaan itu kepada semua penerbit dan pengarah filem tanah air.

Jelasnya lagi, dia menjadikan filem-filem Jerman sebagai rujukan di samping meneliti pembikinan filem dari Itali, Sepanyol dan menonton filem Tamil untuk mendapatkan kesan visual yang bagus.

“Saya jadikan kejayaan filem lain sebagai panduan kerana saya sedar perlu banyak belajar dari mereka yang berpengalaman kerana saya bukanlah pelajar jurusan filem. Saya hadir dalam industri ini kerana minat,” katanya.

Iklan

Tambah Suhaiza, pada awalnya dia bimbang tidak  mampu untuk mengarahkan Eva kerana ‘pembawaan’ filem itu sangat berat dan mengakui genre thriller sesuai dengan jiwanya.

“Namun dengan sokogan padu daripada mereka yang terbabit dalam penggambaran filem ini, daripada produser sehinggalah kru dan pelakon, saya yakin untuk melaksanakan tanggungjawab itu.

“Saya terima tawaran untuk mengarahkan filem ini kerana selain suka dengan genre sebegini, Eva membawa mesej yang lebih dari sekadar hiburan.

Iklan

“Ia adalah filem yang mendasari masalah kesihatan mental, betapa pentingnya mengasihi, memberi peluang dan kehidupan yang baik kepada anak-anak yang lahir daripada hubungan terlarang,” jelasnya yang berharap filem itu akan mengulangi kejayaan di Festival Filem Cannes 2023.

Eva mengisahkan Amy dan Mike adalah orang yang sama tetapi terperangkap dalam satu tubuh.

Eva, sebagai pemilik tubuh terpaksa berhadapan dengan perubahan yang berbeza-beza akibat daripada trauma yang dialami sejak dia masih kanak-kanak.

Dalam  kekeliruan dirinya itu, Eva berjaya menjadi seorang peguam. Namun itu tidak merubah dirinya  menjadi manusia normal. Keadaan dirinya terus bertukar-tukar menjadi Amy, seorang pakar forensik dan Mike pula pembunuh.