SEJAK berdepan kemelut membabitkan dirinya dengan penyanyi Siti Nordiana sehingga membawa kepada tindakan saman pada tahun lalu, Syura mengakui menerima pelbagai kecaman tidak berasas daripada beberapa pihak.

Paling menyedihkan, kata Syura, 36, dia dituduh iri hati dengan pencapaian rakannya itu sehingga mengheret mereka kepada fasa mencabar yang sedang dilalui kini.

Menafikan segala tuduhan tersebut, penyanyi Nazam Berkasih itu berkata, tidak pernah pernah sekalipun terfikir untuk melihat persahabatannya berdepan situasi itu.

“Dalam apa-pun perhubungan dan persahabatan, kita tidak akan dapat lari daripada masalah sama ada besar atau kecik.

“Apabila berkawan, kalau boleh kita mahu sama-sama selesaikan masalah yang datang. Jadi apabila tak dapat buat begitu, mesti ada sebabnya. Saya tidak mahu cakap cakap lebih kerana benda pun sudah terjadi.

“Ramai yang cakap saya ‘busuk hati’ dan cemburu dengan kejayaan Nana (Siti Nordiana). Hakikatnya, Nana dah berjaya sejak Gegar Vaganza 2 lagi. Kalau benar saya ada masalah itu, sejak dari dulu lagi saya dah buat begitu.

Iklan

“Apa-apapun benda dah terjadi dengan izin ALLAH. Walaupun saya tidak berniat begitu, kena jugalah hadap apa yang berlaku. Ini pengajaran untuk saya dan pihak dia juga,” ujar Syura.

Iklan

Terdahulu, Syura merupakan antara lima individu yang menerima surat saman daripada Siti Nordiana berjumlah RM2.5 juta. Empat lagi individu itu ialah Lan Solo, Sheila Hassim, Sam Samin dan Razidah Ahmad.

Kemelut dan kontroversi lima sahabat itu tercetus apabila mereka mendedahkan konflik yang berlaku dalam hubungan persahabatan masing-masing dengan Siti Nordiana menerusi sesi siaran langsung di Instagram pada Julai tahun lalu.