PELAWAK Shuib mengakui tidak menolak jodoh jika ditakdirkan bertemu pengganti pada masa akan datang.

Akui Shuib, 38, selepas lima bulan pemergian isteri, Siti Sarah Raissudin, dia sering diajukan tentang persoalan jodoh dan tidak dapat mengelak daripada membicarakan soal itu.

Bagaimanapun, keterbukaan tentang soal jodoh itu mengundang kecaman netizen yang menyifatkan masih terlalu awal untuk Shuib bicarakan.

“Saya sebenarnya tidak ambil kisah tentang kecaman atau apa sahaja yang diperkatakan netizen. Saya tak boleh nak tutup mulut orang untuk berkata-kata.

“Contohnya jika selepas lima bulan ini saya kata nak cari jodoh, nanti mesti ada yang cakap dulu saya beria-ria sedih sekarang cepat sangat pula cari (pengganti).

“Tapi dari satu pihak lain pula anggap okay sahaja kerana nanti kalau saya duduk seorang diri nak buat apa. Jika depresi, siapa yang nak tanggung? Jadi saya rasa tidak perlu nak ambil tahu apa netizen nak kata.

“Saya hanya perlu dengar kata ibu, ibu bapa mertua dan keluarga saya. Sebabnya waktu susah senang saya bersama keluarga dan bukan dengan mereka (netizen). Jika saya sedih tertonggeng di rumah pun, bukan mereka yang ada untuk mengambil tahu.

“Jadi baik saya fokus pada hidup saya dan keluarga sahaja,” ujar Shuib yang ditemui pada majlis pelancaran kempen Loveta X Anzalna pada Jumaat.

Bapa tunggal kepada empat anak itu berkata, dia tidak mahu tergesa-gesa memikirkan soal itu, sebaliknya lebih memberi fokus kepada anak-anak terlebih dahulu.

“Saya betul-betul serah segalanya pada ALLAH. Malah saya tak berani nak cakap itu dan ini kerana tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini.  Saya cuma harap semuanya akan baik-baik sahaja.

“Ibu ada nasihatkan saya untuk cuba berkawan dengan orang baharu, tetapi saya fikirkan anak-anak. Saya ada ramai anak dan kadang-kadang tak ada masa nak fikirkan benda lain.

Iklan

“Saya jarang keluar rumah, kalau keluarpun dengan anak-anak sahaja. Bercuti pun dengan anak-anak juga. Apatah lagi sekarang saya tidak begitu aktif dengan aktiviti seni, jadi bila masa saya nak cari jodoh,” akuinya.

Dalam pada itu, Shuib mengakui ramai wanita yang menghantar mesej untuk berkenalan dengannya menerusi media sosial. Namun dia tidak mengambil serius perkara itu, malah jarang sekali membuka mesej-mesej tersebut.

“Memang banyaklah mesej tanya khabar dan mengambil berat. Sebenarnya saya saya jarang buka mesej itu semua.

“Apa yang pasti, jika ingin mencari calon selepas ini saya akan pastikan ia mendapat persetujuan daripada ibu saya, mertua dan anak-anak. Ia bukan keputusan yang datang daripada saya semata-mata.

Iklan

“Kalau OK untuk saya, tapi tak OK untuk anak-anak, benda itu takkan jadi,” tegasnya.

Shuib bergelar bapa tunggal selepas isterinya, penyanyi Siti Sarah Raissudin meninggal dunia pada 9 Ogos tahun lalu selepas melahirkan anak keempatnya Ayash Affan dalam keadaan dijangkiti virus Covid-19.

Menerus perkahwinan tersebut juga, mereka mempunyai tiga lagi cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8 dan Ariq Matin, 6.