KESAL gambarnya dan keluarga digunakan untuk tujuan penipuan, pelakon Eyra Hazali membuat laporan polis terhadap syarikat pinjaman wang.

Eyra atau nama sebenarnya Hazirah Qasdina Hazali, 22, mendedahkan perkara tersebut menerusi laman Instagram miliknya pada Khamis.

“Saya terima satu DM (Direct Meesage) Khamis lepas yang menyatakan ada satu akaun Facebook telah menggunakan gambar keluarga saya serta kapsyen palsu.

“Allahuakbar.. Saya dah pun hubungi orang tu untuk turunkan hantaran, tapi mereka tak nak percaya saya pemilik gambar itu.

“Katanya ada ahli mereka yang bagi (gambar), bila tanya tak nak jawab dan sebenarnya ada bukti lain mereka memang suka-suka saja ambil gambar orang lain juga.

“Mereka tak nak turunkan hantaran itu sebab ramai mesej dan mereka rasa marketing tu berjaya, tapi (sebenarnya) tak,” jelasnya.

Tambah Eyra, biarpun dia memberi amaran untuk melaporkan kejadian tersebut kepada polis, pihak terbabit tidak mengendahkannya.

“Walaupun saya ugut nak buat laporan polis pun, dia tak takut. Mungkin seronok tengah pegang duit orang. Tapi, saya dah buat laporan semalam (Rabu).

Iklan

“Sesiapa yang nampak hantaran ini di Facebook, tolong komen kat situ, ini semua menipu.

“Dalam akaun Facebook dia tak ada hantaran ini, tetapi selalu keluar dekat timeline yang lain as sponsored,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, isteri kepada penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhammad Haziq Nadzli itu sempat menitipkan pesan kepada mereka di luar sana agar mencari rezeki halal untuk keluarga masing-masing.

“Kalau terdesak sangat cari duit, banyak lagi cara yang halal. Bagi famili kenyang pun tak guna kalau haram, Masya-ALLAH… Tolong sebarkan ya,” katanya.