PENYANYI dan pelakon Datuk Awie mendedahkan satu penipuan yang dilakukan seorang wanita yang cuba memperdaya orang ramai dengan menggunakan nama dan gambarnya untuk mempromosikan konsert yang tidak wujud.

Konsert tersebut yang kononnya turut membabitkan beberapa artis terkenal lain seperti Ahmad Dhani, Ziana Zain, Erra Fazira dan Ella itu dikatakan bakal berlangsung di sebuah hotel di Kota Kinabalu, Sabah pada 4 Februari 2023.

Menurut Awie, 54, penipuan tersebut bagaimanapun berjaya dipatahkan pihak polis yang menerusi penangkapan wanita terbabit.

“Satu percubaan menipu untuk mendapatkan keuntungan dengan mudah telah dibanteras pihak polis pagi tadi (Khamis).

“Dia mengaku adanya konsert yang diberi nama Unplugged Living Legend (Datuk Awie dan Ahmad Dhani ) bersama artis undangan Ziana Zain, Ella dan Erra Fazira yang kononnya akan berlangsung pada 4 Februati 2023 di sebuah hotel di Kota Kinabalu.

“Tak tahulah dah berapa ramai orang kena tipu bagi dia duit untuk beli tiket,” ujar Awei menerusi satu hantaran di laman Instagram miliknya pada Khamis.

Dalam perkongsian sama, Awie juga menegaskan, dia dan rakan-rakan artis terbabit tidak tahu menahu langsung mengenai konsert ‘palsu’ itu biarpun nama dan gambarnya tertera pada poster konsert berkenaan.

“Saya nak tekankan di sini, kami semua tidak tahu menahu pasal konsert ini. Gambar kami digunakan untuk poster dan scam orang.

“Berhati-hati semua. Jangan mudah terpedaya dengan sebarang perkara yang tiada sebarang bukti yang nyata.

“Jika konsert sebenar pastinya akan ada sidang akhbar, lebih-lebih lagi dengan nama-nama besar seperti Ahmad Dhani, Ella, Erra dan Ziana.

“Apa pun alhamdulillah polis telah berjaya menangkap individu berkenaan. Mengikut rekod dia sudah beberapa kali kena tangkap kerana menipu juga,” katanya.