SELAIN mengharungi kesuraman industri seni disebabkan penularan pandemik Covid-19 yang memberi impak besar pada dunia dan manusia sejagat, orang ramai turut berduka atas kehilangan ramai bintang yang banyak menyumbang bakti kepada dunia hiburan tanah air.

Sebelum tahun 2020 menutup tirai, SinarPlus berkongsi barisan bintang yang telah pergi meninggalkan kita sepanjang tahun ini.

LOK-U (22 Januari)
Komposer dan penerbit muzik terkenal, Lok-U atau nama sebenarnya Faizal Uzir, 46, meninggal dunia akibat sesak nafas dan rebah di kediamannya selepas pulang daripada beriadah.

ABAM (10 Februari)
Berita pemergian pelawak Abam atau Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan mengejutkan dunia hiburan tanah air. Abam, 32, dikatakan mengalami demam panas beberapa hari sebelum menghembuskan nafas terakhir. Allahyarham meninggalkan isteri, Nor Hidayah Mohd Ali dan anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang ketika itu berusia sembilan bulan.

ASHRAF SINCLAIR (18 Februari)
Pelakon dan pengacara yang mencipta nama di Malaysia dan Indonesia, Ashraf Sinclair dilaporkan meninggal dunia secara mengejut akibat serangan jantung. Kematian Ashraf, 41, yang juga merupakan suami kepada selebriti popular Indonesia, Bunga Citra Lestari mendapat liputan meluas di kedua-dua buah negara. Allahyarham Ashraf meninggalkan seorang anak lelaki, Noah Aidan Sinclair, 10.

MYA MATAHARI (18 Mac)
Selepas beberapa tahun menderita mengidap kanser, penyanyi Myanaliza Ruslee atau lebih dikenali sebagai Mya Matahari, 44, meninggal dunia pada 18 Mac lalu.

FARITH ISMETH EMIR (20 April)
Pembaca berita terkenal, Farith Ismeth Emir, menghembuskan nafas terakhir pada usia 65 tahun. Berkhidmat lebih 30 tahun bersama RTM, Allahyarham yang juga merupakan bapa kepada komposer DJ Fuzz, sinonim dengan Berita Perdana dan Dunia Jam 10.

POE (12 Jun)
Penyanyi reggae era 1990an yang popular dengan lagu Ala Latok, Poe atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Ahmad, 64, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur, akibat masalah jantung dan komplikasi pelbagai penyakit lain.

YUSOF KELANA (15 Ogos)
Pengarah dan penerbit filem, Yusof Kelana, 66, menghembuskan nafas terakhirnya di sisi anak dan isteri, akibat kanser kulit tahap empat.

ABU BAKAR JUAH (15 Ogos)
Pelakon veteran, Abu Bakar Juah, 72, meninggal dunia di kediamannya, selepas dua minggu dalam keadaan tenat akibat menderita penyakit kanser hati.

KUMIN KU2 (3 September)
Pelawak Kumin KU2 atau nama sebenarnya Khuzaimi Ismail, 49, meninggal dunia selepas terjatuh dari katil di rumahnya, sebelum tidak sedarkan diri. Difahamkan Allahyarham dalam keadaan baik sebelum kejadian tersebut berlaku.

Iklan

DATUK ZULKIFLI ZAIN (5 September)
Pelakon veteran, Datuk Zulkifli Zain, 76, meninggal dunia akibat komplikasi pelbagai jenis penyakit. Pada era kegemilangannya, Allahyarham terkenal dengan watak antagonis termasuk watak Bentayan dalam drama Tragedi Sri Mersing. Zulkifli meninggalkan seorang isteri, Datin Normala Omar dan lima anak.

SANDRA DIANNE (11 September)
Penyanyi Sandra Dianne meninggal dunia, selepas lima hari koma dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya. Allahyarham Sandra atau nama penuhnya Alessandra Dianne Ampuria, 26, mengalami kemalangan jalan raya di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) ketika dalam perjalanan ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) untuk raptai penuh konsert Big Stage minggu keempat.

IDRIS MD DIAH (14 September)
Pelakon veteran, Idris Md Diah, 61, meninggal dunia ketika sedang tidur di kediamannya di Putrajaya. Allahyarham sebelum ini terkenal dengan watak bapa penyayang dalam kebanyakan drama lakonannya.

Iklan

RUSLAN MAMAT (20 November)
Komposer irama dangdut terkenal, Ruslan Mamat, 59, meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Serdang. Sepanjang pembabitannya dalam bidang muzik, Allahyarham pernah menaikkan nama ramai penyanyi dangdut seperti Amelina, Mas Idayu dan lain-lain.

A.ALI (21 November)
Seorang lagi komposer ternama, A. Ali atau nama sebenarnya Hamdan Atan, 77, meninggal dunia ketika sedang tidur.  Allahyarham merupakan bekas pemain gitar dan penyanyi kumpulan Kembara yang turut dianggotai oleh Datuk M. Nasir, selain bersama Andre Goh menganggotai kumpulan Pelangi.

PAK LAH CECUPAK (21 November)
Pelawak Pak Lah Cecupak atau nama sebenarnya Noor Affendi Nurdin, 53, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, akibat kanser usus tahap empat.

AlFatihah buat semua bintang yang telah pergi. Segala jasa dan bakti sumbangan dalam bidang seni akan terus dikenang dan dihargai.