Kejutan, debaran berterusan dalam Beast

A
A
A

BAGI penonton yang gemarkan filem aksi thriller yang penuh dengan kejutan dan debaran, filem Beast bakal menghiburkan anda dengan elemen-elemen yang diinginkan.

Mula ditayangkan di pawagam tanah air pada 18 Ogos, Beast mengangkat tema survival itu mengisahkan tentang seorang bapa tunggal, Dr. Nate Daniels yang kembali ke Afrika Selatan, tempat dia pertama kali bertemu mendiang isteri, Amahle.

Dr. Nate turut membawa dua anak perempuannya, Mer dan Norah ke kawasan hutan simpanan yang diuruskan oleh Martin Battles iaitu rakan keluarga isterinya dan ahli biologi hidupan liar.

Perjalanan mereka berjalan lancar namun bertukar menjadi sebaliknya sehingga terpaksa berjuang untuk bertahan hidup daripada seekor singa yang terlepas daripada perangkap pemburu haram.

Pengarahnya, Baltasar Kormakur yang sememangnya tidak asing dengan naskhah-naskhah daripada genre serupa, sekali lagi bijak menggunakan kelebihan itu untuk menjadikan Beast sebagai sebuah cerita yang menarik.

Tampil dengan jalan cerita mudah difahami, Beast berjaya membawa penonton untuk turut serta dalam perjalanan watak-watak yang terlibat. Daripada keterujaan mereka melihat keindahan alam semula jadi di depan mata sehinggalah kepada debaran demi debaran dalam perjuangan mereka mempertahankan nyawa.

Elemen kejutan yang ditampilkan ternyata berjaya mengikat penonton untuk terus fokus kepada jalan cerita dan tertanya-tanya apakah mereka berjaya menyelamatkan diri.

Hampir sepanjang cerita, penonton tidak dapat duduk diam menyaksikan babak-babak aksi yang begitu meyakinkan sehingga terlupa singa besar yang menjadi tumpuan utama dalam cerita ini dijelmakan menerusi teknik imej janaan berkomputer (CGI).

Tidak hanya aksi, Beast juga menampilkan konflik kekeluargaan melibatkan Dr. Nate dan anak-anaknya yang digarap dengan sederhana, tetapi meninggalkan impak.

Apa yang pasti, lakonan Idris Elba sebagai Dr. Nate sememangnya cemerlang dan tiada keraguan. Aksinya penuh karisma, baik sebagai seorang bapa mahupun sebagai hero yang berani bertarung satu lawan satu dengan binatang liar yang menjadi pencetus kepada keadaan huru-hara yang dilalui mereka sekeluarga.

Banyak mesej penting yang disampaikan menerusi filem ini terutama tentang pemburu haram yang sanggup melakukan apa sahaja demi memenuhi kepentingan peribadi mereka.

Secara keseluruhannya, Beast adalah sebuah filem yang harus ditonton.

BEAST

Bahasa: Inggeris

Klasifikasi: P13

Genre: Thriller

Durasi: 1 jam 33 minit

Pengarah: Baltasar Kormakur

Pelakon: Idris Elba, Sharlto Copley, Riley Keough, Iyana Halley, Leah Sava Jeffries

Tarikh Tayangan: 18 Ogos 2022

Edaran: United International Pictures

(FOTO: UNITED INTERNATIONAL PICTURES)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca