ISTERI kepada penyanyi Shahir Zawawi iaitu Jaskin Jaludin mendedahkan dia pada awalnya tidak mengetahui Shahir adalah seorang selebriti yang dikenali ramai.

Jelas Jaskin, 30, dia sebelum ini tidak pernah menonton program Akademi Fantasia (AF) di mana Shahir bergelar juara untuk musim ke-lapan.

“Lepas saya dapat tahu, saya terus bertanya pada dia, betulkah awak ini artis? Sebab saya memang tidak menonton program AF.

“Insya-ALLAH, saya sudah bersedia dengan liku-liku bergelar isteri kepada seorang selebriti dan saya tiada halangan untuk Shahir berduet atau berpasangan dengan mana-mana artis wanita untuk perkembangan kerjayanya,” kata wanita kelahiran Tawau, Sabah itu.

Celah Shahir, mereka berkenalan sekitar Mei lalu dan dia mendekati wanita itu menerusi akaun Instagram.

“Saya mengaku yang saya tegur dia dulu (di Instagram). Masa itu memang kami dua-dua dalam fasa nak cari pasangan untuk settle down.

“Kami kenal, borak-borak dan dua minggu selepas itu kami ambil keputusan untuk jalani kursus kahwin secara online.

Iklan

“Hanya selepas itu baharu kami keluar bertemu janji dan Alhamdulillah dari situ saya lihat kami ada keserasian dan keselesaan apabila bersama.

“Saya terpaut pada hati isteri, dia seorang yang suci hatinya. Kalau siapa kenal dia, tahu dia macam mana orangnya. Lagi satu dia pun lucu orangnya,” ujar Shahir.

Iklan

Shahir dan Jaskin atau lebih mesra disapa Ekin sah bergelar suami isteri pada jam 9.10 malam pada Jumaat dan bakal diraikan dalam majlis resepsi pada malam ini bertempat di lokasi sama.

Menariknya, Shahir bakal mempersembahkan lagu baharu nyanyiannya, Halal yang diciptakan khas buat suri hatinya itu di hadapan tetamu dalam majlis itu nanti.