SENIWATI Fauziah Nawi menerima kejutan istimewa daripada pihak penaja Anugerah Seri Angkasa 2022 (ASA2022) dihadiahkan sebuah kereta Mitsubishi Xpander bernilai RM100,000 sebaik sahaja diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Sering Angkasa, selain trofi dan wang tunai berjumlah RM10,000.

Fauziah, 69, meluahkan rasa syukur kerana hasratnya untuk memiliki kereta baharu selepas beberapa tahun tidak mempunyai kenderaan sendiri menjadi kenyataan dengan hadiah tersebut.

“ALLAH mendengar doa saya. Saya memang berhasrat memiliki kereta kerana sudah beberapa tahun tidak mampunyai kenderaan sendiri untuk memudahkan pergerakan.

“Kereta lama sebelum ini, Proton Wira dah terbakar. Kalau nak beli sendiri, memang agar sukar kerana pada usia ini tentunya saya tidak dapat membuat pinjaman bank untuk tujuan tersebut.

“Jadi hadiah dan rezeki yang saya dapat ini amat-amat saya syukuri. Terima kasih kepada semua pihak terutamanya penganjur ASA2022,” katanya kepada SinarPlus.

Pelakon veteran yang mesra disapa dengan panggilan ibu itu turut mendedahkan, pernah mengambil bahagian dalam acara cabutan bertuah anjuran Finas yang menawarkan kereta sebagai salah satu daripada hadiah.

“Baru-baru ini Finas ada buat cabutan bertuah yang menawarkan hadiah kereta dan motor dengan cara pembelian barangan bernilai RM35.

“Disebabkan sangat memerlukan kereta, saya cuba nasib dengan harapan berpeluang memenangi hadiah tersebut. Tapi ketika itu ternyata ia bukan rezeki saya.

Iklan

“Malam ini ALLAH makbulkan doa saya itu. Insya-ALLAH ramai yang boleh tolong pandu kereta ini termasuk cucu, untuk bawa saya ke mana-mana,” katanya.

Fauziah teruja dan terharu, hasrat memiliki kereta akhirnya menjadi kenyataan.

Mengulas tentang anugerah yang diterima, Fauziah berkata, sepanjang lima dekad dalam industri, dia tidak pernah memikirkan tentang anugerah, sebaliknya ikhlas menjalankan tanggungjawabnya sebagai anak seni.

“Selama 50 tahun berada dalam industri, saya tidak pernah memikirkan tentang anugerah dan tidak menyangka seni ini dapat ‘menghidupkan’ saya dan keluarga.

Iklan

“Saya sangat berbesar hati menerima anugerah ini yang saya anggap sebagai penghormatan kepada anak seni.
“Pesan saya kepada anak seni lain, kita buat terus dan terus kerana rezeki itu akan datang pada bila-bila masa sahaja. Kita buat kerana kita nak buat dan bukan kerana anugerah,” akhirinya.

(FOTO: RAFEQ REDZUAN & JABATAN PENERANGAN MALAYSIA)