Kisah baju Melayu Naim Daniel

A
A
A

MENYEDARI diri sentiasa menjadi perhatian, selebriti berbakat besar Naim Daniel sentiasa cuba memberi pengaruh yang positif kepada orang ramai.

Tidak hanya menerusi karya-karya yang dibawakan, tetapi pemilik nama lengkap Muhammad Naim Daniel Baharin, 26 , itu juga berusaha berkongsi perkara sama menerusi penampilannya di depan khalayak.

Terbaru, Naim kini mendapat perhatian ramai apabila sering dilihat tampil mengenakan persalinan baju Melayu lengkap ketika menghadiri acara-acara hiburan, mahupun menjayakan persembahan.

Pada awalnya, ramai menyangkakan ia hanyalah gimik mempromosikan karya atau produk tertentu. Namun penyanyi lagu Sumpah itu menafikan perkara tersebut dan menegaskan ia adalah pilihan yang dilakukan dengan alasan tersendiri.

“Kalau ikutkan saya mula memilih penampilan berbaju Melayu untuk buat persembahan sejak tahun lalu lagi, cuma mungkin sekarang dilakukan dengan lebih kerap dan orang mula perasan.

“Idea untuk tampil dengan penampilan begini bukan untuk gimik, tetapi ia tercetus secara tiba-tiba apabila saya terfikir kenapa baju Melayu hanya dipakai secara meluas untuk acara tertentu seperti kahwin atau ketika sambutan hari raya sahaja.

“Jadi saya cuba pakai untuk acara biasa termasuk persembahan. Daripada pakai untuk suka-suka, akhirnya rasa seronok dan selesa dengan penampilan itu,” ujarnya.

Hargai budaya

Dalam masa sama, Naim yang ditemui ketika majlis Serlahan Seni Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara baru-baru ini juga berkata, beliau mahu menjadi generasi muda menghargai budaya yang diwarisi.

Naim berbaju Melayu ketika membuat persembahan bersama kumpulan SOG pada majlis pelancaran siri High Council.

Malah anak kelahiran Negeri Sembilan itu berharap apa yang ditampilkan itu juga dapat memberikan inspirasi kepada orang ramai melakukan perkara sama.

“Bagi saya baju Melayu melambangkan budaya dan warisan. Jadi kalau bukan kita generasi muda nak pelihara, siapa lagi yang nak buat?

“Saya percaya sebagai pekerja seni yang ada sedikit pengaruh ini, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk sampaikan mesej menerusi penampilan ini kepada orang di luar sana,” katanya yang kini mempunyai puluhan koleksi baju Melayu baharu.

Jadi ikutan

Berkongsi reaksi para peminat yang mula menyedari perubahan kepada penampilan dirinya, selebriti yang juga aktif dalam bidang lakonan itu mengakui terkejut apabila kebanyakan mereka menyukai dan memberikan sokongan.

Malah ada di antara mereka yang turut sama mahu berbuat demikian dan menjadikan penampilan tersebut sebagai pencetus inspirasi.

“Jujurnya saya sangat terkejut dan tak sangka dengan respons positif mereka. Malah sejak akhir-akhir ini ada pula yang mesej langsung di laman media sosial bertanya saya nak pakai baju Melayu warna apa kerana mereka mahu sedondon ketika hadir menyaksikan persembahan saya.

“Perkara itu sangat menggembirakan saya. Saya tahu apa yang saya lakukan itu bukan besar pun, tetapi bila dapat respons begitu, saya rasa sangat-sangat bangga. Bukan saya nak buat trend, tetapi ia berkaitan budaya dan warisan kita,” tegas bintang yang kini hangat dengan siri High Council yang disiarkan di Astro Ria itu.

Dalam perkembangan lain, finalis Anugerah Juara Lagu ke-37 itu meluahkan rasa teruja apabila persembahan berani beliau yang tampil menyanyi lagu Mainan dalam keadaan tergantung dan terbalik di pentas berprestij itu mendapat perhatian pihak Malaysia Book Of Records.

“Sehingga hari ini saya gembira dan bangga dengan persembahan tersebut. Saya rasa puas dapat kongsi kreativiti di pentas dan apa yang dirancang itu berjalan lancar.

“Namun saya tak sangka ia turut mendapat perhatian pihak terbabit dan mereka kini dalam peringkat meneliti beberapa perkara melibatkan persembahan itu.

”Jadi buat masa ini saya masih menunggu pengesahan dan akan kongsikan kepada orang ramai jika ada berita baik mengenainya,” kata Naim.

(FOTO: AZRUL RAFI - ASTRO)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca