BARU setahun melangkah ke bidang seni, kumpulan wanita yang dikenali sebagai Dolla mungkin boleh berbangga apabila kisah hidup mereka kini diangkat dalam sebuah telefilem.

Telefilem berjudul Dolla Watch Me Glow terbitan Zeel Production dengan kerjasama Astro dan Universal Music itu bakal menemui peminat pada Sabtu (esok), jam 9 malam menerusi saluran Astro Citra dan Astro Citra HD.

Dolla Watch Me Glow arahan Izuan Mokhtar itu diinspirasikan daripada kisah benar anggota kumpulan Dolla sendiri iaitu Sabronzo, Tabby, Syasya dan Angel.

Idea untuk mengangkat kisah hidup Dolla tercetus daripada pihak Astro bersama Zeel Production yang melihat populariti serta impak kumpulan yang mula popular dengan lagu Dolla Make You Wanna itu wajar dikongsi bersama penonton.

Mewakili anggota kumpulan Dolla, Sabronzo tidak menyangka Astro menunjukkan minat untuk mengangkat kisah hidup mereka menjadi sebuah telefilem.

Biarpun bangga dengan peluang diberikan, sebagai sebuah kumpulan baharu kata Sabronzo, peluang itu dilihat terlalu besar untuk mereka.

“Apabila pihak Universal Music memaklumkan mengenai tawaran pihak Astro, kami sangat terkejut. Bukan apa, jika hendak dibandingkan dengan kumpulan atau penyanyi lain, kami masih lagi terlalu hijau dan kerdil.

“Lagipun kami masih belum mempunyai sebarang pencapaian yang boleh dibanggakan. Jadi, kami merasakan Dolla belum layak untuk menerima pengiktirafan sejauh itu.

“Bagaimanapun kami tetap berbangga sekurang-kurangnya ada pihak yang mengiktiraf bakat kami,” katanya.

Berkongsi pengalaman kali pertama mencuba bidang lakonan, Sabronzo mengakui sedikit kekok ketika memasuki set penggambaran.

“Tidak dinafikan bukan mudah sebenarnya untuk bergelar pelakon, apatah lagi ini adalah pengalaman pertama semua anggota Dolla.

“Bagi saya bahagian paling sukar apabila dipaksa untuk menangis. Tapi saya amat mengkagumi Tabby dan Syasya, biarpun kali pertama tetapi mereka boleh melakonkan adengan menangis dengan semula jadi.

“Nasib baik pengarah boleh bersabar dengan saya apabila meminta saya mengingati dan mendengarkan lagu sedih supaya boleh menghayati babak menangis,” katanya.

Antara babak menarik dalam telefilem Dolla Watch Me Glow

Menurut Sabronzo lagi, kisah di dalam telefilem Dolla Watch Me Glow hampir 70 peratus (%) tepat dengan kisah hidup anggota kumpulan itu.

Pelbagai kisah suka dan duga bakal dikongsi dengan peminat, malah banyak yang mungkin tidak diketahui oleh peminat sebelum ini.

“Memang hampir 70% kisah yang dipaparkan dalam telefilem itu ada ke mana mengena dengan kami. Cuma 30% yang ditokok tambah bagi mewarnai telefilem itu dan menjadikan jalan cerita drama itu menjadi lebih menarik.

“Bagi kami tiada apa yang perlu dirahsiakan daripada penonton. Jadi apa yang bakal peminat saksikan nanti memang kisah hidup sebenar kami.

Iklan

“Dolla juga sudah bersedia dikritik oleh penonton. Kami tidak kisah sekiranya ada yang mengatakan kami ‘kayu’ selepas menonton aksi pertama kami dalam bidang lakonan.

“Kami dikenali sebagai penyanyi dan penari, bidang lakonan bukan kepakaran kami. Jadi adatlah jika penonton merasakan mutu lakonan kami belum memuaskan,” jelasnya.

Walaupun masih hijau dalam dunia lakonan, Sabronzo bagaimanapun mendedahkan Dolla kini mula meminati bidang itu.

Malah mereka bersedia untuk lebih serius dalam bidang lakonan serta tidak akan menghalang anggota kumpulan Dolla yang lain jika menerima tawaran lakonan secara individu.

Dolla Watch Me Glow mengisahkan Sabrina, gadis yang sedang menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang perniagaan di Los Angeles, California. Juga Tabby, seorang anak tunggal yang dikongkong keluarga.

Iklan

Manakala Shasha pula yang sekian lama dibenci ibunya sendiri dan Angel, gadis yang sentiasa ingin keluar dari zon selesa hidupnya.
Sabrina, Tabby, Angel dan Shasha ingin menggapai cita cita dan minat mereka dalam bidang muzik dengan menjalani uji bakat bersama syarikat rakaman tersohor, Universal Muzik secara solo.
Bagaimanapun, penyelaras A&R syarikat berkenaan, Kelly lakonan Azwan  Ali membuat keputusan untuk menyatukan mereka sebagai sebuah kumpulan.

Sabronzo yang sejak dari kecil bercita-cita hendak menjadi rappers mula tidak berpuas hati dan bermula pelbagai peristiwa bagi membentuk sebuah kumpulan.

Selain Dolla, telefilem itu turut dibarisi Fauziah Nawi, Angeline Tan, Aniq Suhair, Catriona Ross, Aida Aris, Douglas Lim dan ramai lagi.

 

(FOTO: Universal Music Malaysia)