Sanggup berjaga hingga 4 pagi buat kek, Umie Aida tunaikan hasrat anak seni bertemu Tun M - ‘Dah macam festival filem’

No Image Caption
A
A
A

BERTAHUN-tahun menyimpan hasrat untuk bertemu Tun Dr Mahathir Mohamad, akhirnya impian anak seni tempatan direalisasikan apabila mereka berpeluang duduk semeja dan beramah mesra dengan negarawan itu serta isterinya, Tun Dr Hasmah Mohamad Ali.

Pertemuan yang berlangsung menerusi majlis Seniman Semeja dan sambutan hari lahir Tun Dr Mahathir serta isteri kesayangannya, Tun Hasmah yang berlangsung di Yayasan Kepimpinan Perdana pada Isnin lalu bukan sekadar sebuah acara santai, sebaliknya menjadi ruang buat penggiat seni daripada generasi muda hingga legenda meluahkan rasa penghargaan terhadap pasangan tersebut.

Pelakon Datin Seri Umie Aida yang bersama suaminya, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menganjurkan majlis berkenaan berkata, hasrat untuk menemukan anak seni dengan Tun M sudah lama disimpan.

No Image Caption

No Image Caption

Namun, kesibukan jadual Tun M serta keterbatasan akses menyebabkan hasrat berkenaan terpaksa dipendam buat sementara waktu.

“Bertahun lama sudah hasrat anak seni untuk bertemu dengan Tun M, tetapi memandangkan jadual beliau sangat padat dan saya juga tiada akses untuk mendekatinya, jadi terpaksalah bersabar.

“Bila ada peluang dan alhamdulillah daripada yang muda hingga legenda, dapat semeja bersama beliau. Pada masa sama, kami mahu melahirkan rasa terima kasih atas perjuangan beliau selama ini,” katanya.

Bagi Umie, pertemuan tersebut membawa makna yang lebih mendalam apabila melihat sendiri bagaimana anak seni yang hadir begitu teruja untuk bertemu pasangan berkenaan.

Malah, suasana majlis itu membuatkan Umie melihat Tun M dan Tun Hasmah seperti ibu bapa yang sekian lama dirindui anak-anak.

“Tun M dan Tun Hasmah ibarat ayah dan bonda dan semua yang datang ibarat anak yang merindui dan baru pulang dari luar negara dan bertemu ibu ayah selepas sekian lama.

“Kita rasa cukup erat dan dekat. Aura pasangan ini welcome kita macam anak dan itulah yang mahal yang ada pada mereka berdua,” ujarnya.

Menurut pelakon filem Embun itu lagi, majlis berkenaan turut menjadi kesempatan untuk anak seni menyampaikan rasa terima kasih atas sumbangan dan perjuangan Tun M yang mereka ikuti sejak sekian lama.

“Selain mengeratkan silaturahim, kami juga mahu Tun M tahu yang anak-anak seni masih menghargai perjuangan beliau daripada awal sehingga ke hari ini,” jelasnya.

No Image Caption

No Image Caption

Sambutan di luar jangkaan

Idea menganjurkan Seniman Semeja tercetus selepas ramai rakan artis meluahkan keinginan untuk bertemu Tun M dan Tun Hasmah secara dekat.

Ketika mula merancang, Umie menyasarkan kehadiran kira-kira 100 tetamu. Namun, jumlah itu terpaksa ditambah menjadi 130 orang selepas menerima sambutan yang begitu menggalakkan daripada rakan-rakan dalam industri seni.

“Ramai sangat anak seni beritahu saya mereka teringin untuk berjumpa dengan Tun M. Saya pun tak tahu macam mana boleh tergerak hati untuk rancang menganjurkan majlis ini secepat ini.

“Dalam pada sibuk dengan penggambaran, saya cari waktu yang sesuai. Kemudian saya mula jemput rakan-rakan artis. Tak sangka ramai yang nak datang. Dah macam festival filem. Artis semua datang tepat pada masa,” ungkapya.

Bagaimanapun, kapasiti dewan yang terhad menyebabkan Umie terpaksa mengehadkan jumlah tetamu meskipun masih ramai yang menyatakan hasrat untuk hadir.

“Saya mohon maaf kerana tak dapat nak jemput semua rakan artis. Dewan kita pun agak kecil,” katanya.

Sanggup berjaga hingga 4 pagi

Dalam kesibukan menguruskan majlis, Umie turut menyediakan sesuatu yang istimewa buat pasangan ikonik negara itu.

Gemar membuat kek, pelakon itu sanggup berjaga sehingga pukul 4 pagi untuk menyiapkan kek khas yang turut diubah suai kepada versi lebih sihat.

No Image Caption

No Image Caption

“Saya buat kek istimewa itu sampai pukul 4 pagi. Tetapi saya buat versi yang lebih sihat. Saya kurangkan gula.

“Saya belajar cara nak buat kek itu dengan guru saya demi Tun M dan Tun Hasmah,” kongsinya.

Majlis Seniman Semeja turut diserikan dengan persembahan istimewa daripada beberapa selebriti tempatan.

No Image Caption

No Image Caption

Antaranya, Erma Fatima yang membacakan nukilan khas buat Tun M, selain persembahan nyanyian Datuk Ramli Sarip, Datuk Khatijah Ibrahim, Elly Mazlein, Ameng Spring dan Zizi Kirana.

Turut hadir ialah Rozita Che Wan dan suami, Fasha Sandha dan suami, Datuk Remy Ishak dan isteri, Datuk Fizz Fairuz dan isteri, Datin Fouziah Ghous dan suami, Aeril Zafrel dan isteri, Datuk Ziela Jalil, Mimi Fly bersama ibu dan Zahiril Adzim dan isteri.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang