Kurang dikenali sebagai penyanyi, Datuk Syafinaz Selamat tak kecil hati

Untitled design
Untitled design
A
A
A

KELIBAT Datuk Syafinaz Selamat dalam industri seni sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi.

Bagaimanapun kebanyakan generasi muda sekarang lebih mengenalinya sebagai seorang guru vokal dan bukannya penyanyi.

“Orang lupa saya sebagai penyanyi. Orang ramai ingat saya ni hanya cikgu vokal. Saya pun ada dengar cerita, ada yang anggap saya ni mengajar saja, bukan menyanyi. Mereka ini adalah golongan generasi muda.

“Saya tak sedih kerana saya sedar situasi itu memang berlaku. Orang yang melihat saya hanya kumpulan tertentu sahaja kerana saya banyak menyanyi di private function. Jadi tak ramai lihat saya nyanyi.

“Saya sedar perkara itu dan sekarang saya harap tidak terlalu terlambat untuk saya kembali semula,” katanya yang ditemui pada sidang media pelancaran lagu terbaharu berjudul Persis Salju di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Tidak sedih mahupun kecewa dengan hakikat itu, ia juga tidak mematahkan semangat wanita berusia 48 tahun itu untuk tampil dengan single baharu selepas 20 tahun.

Bukan tiada keinginan menghasilkan single baharu, namun kesibukan dan komitmen selaku guru vokal, juri program dan pensyarah beberapa institusi pengajian tinggi membuatkan keinginannya tertangguh.

Berkongsi mengenai single berjudul Persis Salju itu, Syafinaz berkata ia merupakan ciptaan KuSham dan lirik oleh Zaira.

Lagu bergenre balada itu memuatkan elemen klasik itu sudah dirakamkan sejak 10 tahun lalu, namun hanya berpeluang dilancarkan 5 April lalu.

“Pejam celik tanpa sedar, single Persis Salju sudah 10 tahun terperap. Ikutkan saya merancang mengeluarkan single Persis Salju, tahun lalu.

“Namun, kita diuji pula dengan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jadi, saya harus menunggu masa yang sesuai untuk melancarkannya.

“Jika boleh, saya mahukan masa terbaik dan bersesuaian. Apatah lagi, saya tak keluar single baharu selama 20 tahun. Biarlah promosinya boleh diadakan secara menyeluruh,” jelasnya.

Jika ditanya soal perasaannya, penyanyi bervokal Soprano itu berkata, perasaannya kini bercampur baur, seram dan teruja kerana sudah lama tiada single baharu.

“Saya seram memikirkan cabaran dalam dunia muzik hari ini. Saya lihat cara dahulu dan sekarang amat berbeza, saya terpaksa ikut trend muzik sekarang.

“Perasaan teruja pula tentulah tidak mampu di selindung. Saya sudah lama tidak berdiri di atas pentas menyanyikan lagu baharu.

“Saya akui, kadang kala rasa malu apabila kerap berjanji tahun demi tahun. Single Persis Salju umpama membayar janji saya pada peminat yang sudah lama menantikan kemunculan lagu baharu saya,” katanya.

Kali terakhir, wanita kelahiran Pontian, Johor itu muncul dengan single berjudul Syyh... sempena album tribute Datuk Ahmad Nawab pada 2001.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca